Berita UtamaDunia

Selepas masalah ekonomi, Lubnan berdepan krisis roti

Bank Pusat didakwa tangguh bayaran penghantaran gandum

BEIRUT, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Kesatuan Bakeri Lubnan memberi amaran mengenai krisis roti di negara Arab apabila beberapa kilang gandum menghentikan operasi kerana kekurangan dana.

Dalam satu kenyataan Sindiket Bakeri berkata, kedai roti menghadapi kekurangan tepung gandum di beberapa kawasan di Lubnan.

“Sebilangan kedai roti telah berhenti membuat roti, manakala yang lain mempunyai kuantiti terhad tepung gandum yang hanya mencukupi untuk satu hari,” katanya.

Kesatuan itu menyalahkan Bank Pusat Lubnan atas krisis berkenaan.

Dakwanya, Bank Pusat menangguhkan pembayaran penghantaran gandum atas sebab yang tidak diketahui.

Setakat ini tiada sebarang komen daripada Bank Negara mengenai dakwaan itu.

Lubnan memerlukan sekitar 40,000-50,000 tan gandum untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Negara Arab itu mengimport kira-kira 60 peratus daripada keperluan gandumnya dari Ukraine dan Russia – yang melancarkan perang ke atas jirannya pada Februari lalu.

Sejak akhir 2019, Lubnan bergelut dengan krisis ekonomi yang teruk, termasuk susut nilai mata wang secara besar-besaran serta kekurangan bahan api dan perubatan.

Mata wang Lubnan kehilangan 90 peratus nilainya, menghakis keupayaan orang ramai untuk mengakses barangan asas, termasuk makanan, air, penjagaan kesihatan dan pendidikan, manakala gangguan bekalan elektrik yang meluas adalah perkara biasa disebabkan kekurangan bahan api. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button