Berita Utama

STAM: KPM pinda perjanjian bersama Al-Azhar Al-Sharif

Tingkat kualiti STAM untuk pelajar lanjut pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir

BANGI, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam peringkat akhir meminda Memorandum Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan (MoA) bersama Al-Azhar Al-Sharif berkaitan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pindaan tersebut membabitkan pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran STAM bagi meningkatkan lagi kualiti sijil pelajaran itu.

“Menerusi pindaan berkenaan ia diyakini mampu meningkatkan kualiti lepasan STAM bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Sebelum ini, Memorandum Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan (MoA) yang ditandatangani pada 18 November 1999 bagi urusan kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti Al-Azhar dikendalikan KPM dan Al-Azhar Al-Sharif.

Radzi menjelaskan, KPM bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan peperiksaan STAM dengan kerjasama pihak Al-Azhar Al-Sharif.

Katanya, KPM kini menyelaraskan STAM mengikut kurikulum Maahad Bu’uth Islamiyyah yang dibangunkan oleh Al-Azhar sepenuhnya.

“Selain itu, kandungan buku teks agama yang digunakan di semua sekolah bawah KPM turut diselaraskan dengan kandungan buku teks yang digunakan oleh pelajar di Universiti Al-Azhar.

“Lepasan STAM boleh menggunakan sijil itu untuk memohon kemasukan ke Universiti Al-Azhar dan institusi pengajian tinggi di Malaysia dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab,” katanya.

Radzi berkata, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG) Malaysia yang turut bersama-sama membantu KPM dalam memudahkan rundingan dengan pihak Al-Azhar Al-Sharif, termasuk dalam urusan STAM.

Sebelum STAM diwujudkan tahun 2000, sijil menengah agama dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri secara berasingan.

Pelajar terpaksa menggunakan sijil itu untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar berdasarkan hubungan persefahaman antara pihak Kerajaan Negeri dan pihak Al-Azhar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button