Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tak setuju hanya pemimpin Islam layak jadi PM, veteran DAP mati isu?

DAP kini hilang cengkaman, sengaja timbul isu tak relevan

BANGI, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Tindakan DAP yang tidak bersetuju dengan cadangan supaya jawatan Perdana Menteri mestilah dikhususkan hanya kepada rakyat Malaysia beragama Islam jelas menunjukkan sikap parti cauvinis itu yang tidak sukakan Islam sebagai agama rasmi negara.

Sebagai sebuah negara yang beridentitikan Islam, adalah wajar meletakkan calon Perdana Menteri beragama Islam dan perkara tersebut tidak boleh dikompromi lagi, demikian tegas Naib Presiden ISMA, Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi.

“Dalam apa jua keadaan Perdana Menteri adalah mesti beragama Islam dan selaras dengan status Islam sebagai agama Persekutuan.

“DAP memang daripada dahulu lagi tidak setuju dalam usaha memartabatkan Islam dan Melayu dan tidak mustahil mereka bersungguh-sungguh akan menolak.

“Namun kita yakin penolakan tersebut tidak akan direalisasikan memandangkan majoriti penduduk adalah Islam dan Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman ADUN DAP Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew di laman Facebooknya 28 Mac lalu, menggesa Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin memohon maaf secara terbuka.

Khairil semasa membahaskan Usul Titah Diraja, di Dewan Negara, 23 Mac lalu meminta kerajaan agar mengusulkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan supaya jawatan Perdana Menteri mestilah dikhususkan hanya kepada rakyat Malaysia beragama Islam.

Khairil berkata, keputusan itu sama seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri di Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang yang mengkhususkan jawatan Menteri Besar mestilah daripada rakyat beragama Islam.

Mengulas lanjut perkara itu yang menimbulkan kecaman Ronnie, Ustaz Azib berpandangan, ia muncul kerana DAP kini sebenarnya semakin hilang cengkaman.

Beliau berkata, mereka sengaja mengangkat isu-isu picisan seperti ini selain cubaan menarik perhatian rakyat kononnya parti mereka adalah parti yang agresif.

“Ini merupakan cubaan DAP untuk menjadi populis dalam kalangan bukan Islam kononnya mereka cuba membela nasib kaum mereka sedangkan isu ini adalah tidak relevan,” katanya.

Ustaz Azib turut berpandangan isu-isu berkenaan tidak sepatutnya timbul memandangkan semua pihak faham dan tahu Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan majoriti penduduk Islam.

“Sangat tidak relevan isu sedemikian menjadi perbincangan sedangkan banyak lagi isu berat dan serius perlu diberikan tumpuan terutama dalam pembangunan negara di saat negara kembali bangkit selepas berdepan keadaan kemerosotan ekonomi selain kesihatan dunia akibat COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button