Berita Utama

Ayuh tolak anasir Islamofobia dalam arus perdana

Media Barat guna kaedah diskriminasi lapor jenayah kejam babit muslim

BANGI, 6 Ramadan 1443H, Jumaat – Bukan sahaja menyuburkan Islamofobia – sikap pilih kasih, hipokrasi dan berpilih liputan media serta tindakan negara Barat selama ini secara jelas bersifat perkauman dengan mewujudkan kasta bagi pelarian perang.

Atas dasar itu, semua pihak terutama orang Islam perlu menolak dan menentang sebarang anasir Islamofobia yang wujud secara berstruktur dan sistematik dalam arus perdana.

Pengerusi dan Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, pihaknya mengalu-alukan Hari Penentangan Islamofobia Sedunia dan akan terus menjadi wadah dalam menangani isu ini secara berkesan.

Katanya, MACSA mengalu-alukan pengiktirafan ke atas permasalahan kebencian terhadap umat Islam ini yang menyebabkan mereka menjadi mangsa prejudis, stereotaip dan diskriminasi.

“Islamofobia turut berlaku di Malaysia, tetapi malangnya kesedaran menentang Islamofobia masih rendah dan banyak pihak termasuk umat Islam sendiri memandang enteng terhadap perkara ini.

“Tanpa disedari, lslamofobia menjadi satu dogma yang diterima dalam kehidupan seharian sehingga tidak menyedari ia semakin meluas.

“Masyarakat sudah terlalu lama dibanjiri berita memberi gambaran buruk dan menakutkan terhadap Islam sehingga ia mengaburkan garis nilai manusia serta melumpuhkan deria penentangan terhadap Islamofobia,” katanya menulis di Berita Harian.

Sebagai contoh, mereka berkata, media berita Barat menggunakan kaedah diskriminasi dan berpilih melaporkan jenayah kejam membabitkan orang Islam.

Katanya, media menjadikan paparan berita menyentuh agama bagi seorang muslim melakukan jenayah, namun apabila ia dilakukan bukan muslim, agama dan ideologi mereka tidak dinyatakan.

“Gaya laporan ini sangat ketara dalam liputan jenayah keganasan. Ia berjaya mewujudkan persepsi dalam pemikiran orang ramai kononnya orang Islam adalah ganas dan sering terbabit dalam banyak perlakuan keganasan, Tetapi persepsi ini jauh dari fakta sebenar,” katanya.

Mereka berkata, implikasi daripada laporan media memburuk-burukkan Islam ini dapat dilihat dengan jelas melalui tindakan diskriminasi negara Barat dan Eropah dalam menangani pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Sebagai contoh, apabila Russia menceroboh Ukraine, Barat jelas memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk membela hak rakyat Ukraine mempertahankan negara mereka. Pelbagai tindakan dan sekatan ekonomi antarabangsa dikenakan ke atas Russia.

“Namun, apabila Palestin diceroboh dan rakyatnya ditindas, dihalau dan diusir dari tanah mereka, tiada tindakan berkumpulan diambil negara Barat untuk membantu rakyat Palestin ditindas ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button