Berita UtamaIstimewa

Bekalan ayam Malaysia bakal habis beberapa bulan akan datang?

48 ladang ayam daging di seluruh negara terpaksa gulung tikar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 6 Ramadan 1443H, Jumaat – Tidak mustahil dalam tempoh beberapa bulan akan datang rakyat Malaysia tidak mampu menjamah hidangan ayam berikutan masalah bekalan ayam yang serius.

Kebimbangan berkenaan disuarakan Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng, yang buntu memikirkan untuk mendapatkan bekalan berikutan tidak mampu memenuhi permintaan pengguna.

“Kita juga bimbang perkara ini bakal menjerumus negara ke arah krisis rantaian makanan yang serius berikutan tiada bekalan utama.

“Ini bukan soal harga ayam mahal tetapi kita semua berdepan ketiadaan bekalan ayam.

“Semua ini berikutan kesan daripada dengan peperangan yang berlaku di Ukraine memandangkan negara tersebut antara negara aktif yang mengeksport ayam termasuk Belarus dan Russia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Katanya, masalah sama turut dialami di negara jiran, Singapura yang bergantung bekalan ayam daripada tiga negara berkenaan.

Ukraine, Belarus dan Russia merupakan antara negara yang aktif mengeksport bekalan ayam ke seluruh negara termasuk Malaysia dan Singapura.

Mengulas lanjut, beliau berkata, situasi yang dialami bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga semata-mata tetapi merugikan perniagaan sehingga terpaksa gulung tikar.

Malah, sehingga kini, sebanyak 48 ladang ayam daging di seluruh negara terpaksa gulung tikar berikutan tidak mampu menanggung kerugian yang dialami.

Situasi tersebut turut menjejaskan ladang ayam telur apabila 11 ladang ayam telur di Pulau Pinang terpaksa ditutup berikutan ketiadaan bekalan.

Selain itu beliau, harga ayam yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut mempengaruhi peniaga untuk menjual berikutan tiada keselarian.

“Bayangkan MAFI tetapkan harga ayam sebanyak RM5.60 bagi ayam ladang manakala KPDNHEP pula tetapkan RM5.90, keadaan ini memberi kesan kepada semua pihak sama ada peniaga dan juga penternak,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa meneliti semula permasalahan ini supaya tidak terus membelenggu peniaga ayam yang kini sangat tertekan.

Katanya, pihak berkuasa perlu duduk berbincang dalam mencari solusi terbaik supaya masalah ini boleh diatasi secepat mungkin sebelum keadaan menjadi lebih kritikal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button