Berita Utama

Ketidaksungguhan kerajaan punca kenaikan harga barang, sampai bila bergantung bekalan import?

KPDNHEP diminta pantau sama kos operasi ladang

BANGI, 6 Ramadan 1443H, Jumaat – Meskipun negara beralih kepada fasa peralihan endemik, isu kenaikan harga barang masih lagi membelenggu rakyat.

Isu ini bagaikan tiada penghujung dek ketidakseriusan kerajaan terhadap isu jaminan bekalan makanan negara.

Bahkan, tindakan kerajaan yang lambat mencari punca masalah menyebabkan harga barang terus meningkat tanpa dapat dikawal.

Berikutan itu, Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) BERJASA, Azrul Azham berkata, bukan sahaja penjual menanggung beban, malahan pengguna turut terkesan akibat harga barang yang terus meningkat mendadak.

Bimbang dengan situasi itu, beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan pantas bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam menguruskan isu ini.

“Dulu ada Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang hanya mampu mengawal harga barang yang sudah naik, bukan kembalikan harga barang kepada tahap sediakala.

“Itupun terhad kepada tempoh yang ditetapkan sahaja!” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Azrul Azham tidak menolak kemungkinan kenaikan harga barang disebabkan kebergantungan kepada pasaran import dan tidak bersungguh menaiktaraf sektor pertanian dan penternakan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata, bilangan import makanan Malaysia berjumlah pada November 2021 berjumlah RM93.3 bilion.

Jelasnya, Malaysia memperoleh sayur-sayuran, buah-buahan dan daging sekurang-kurangnya daripada 120 negara, mengimport lebih daripada 50 jenis bahan segar dan beku bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“Negara Afrika, Australia, India, Thailand dan China antara yang menjadi sumber Malaysia mendapatkan import buah-buahan.

“Manakala sayur-sayuran seperti bawang merah, bawang putih, brokoli, cendawan, bendi, kacang, keledek, tomato dan cili diimport dari beberapa negara seperti China, India, Thailand, Australia dan Singapura.

“Jadi persoalannya, sampai bila Malaysia perlu bergantung kepada bekalan import? Yang pasti jaminan makanan negara dalam keadaan kritikal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button