Berita Utama

PAS tak lihat guna isu Taliban dapat tingkatkan imej parti: Ketua Penerangan

Rekod pentadbiran PAS di Kedah, Terengganu dan Kelantan bukti kejayaan dan perjuangan Islam sebenar

BANGI, 6 Ramadan 1443H, Jumaat – PAS secara tegas menjelaskan tiada keperluan menggunakan isu Taliban bagi meningkatkan imej Islamik parti tersebut.

Ketua Penerangannya, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, sokongan kepada Taliban adalah selari dengan Dasar Luar Negara yang diamalkan Malaysia yang terkenal dengan reputasi sebagai ejen pendamaian negara-negara Islam yang berdepan krisis.

“PAS menyokong kerajaan Taliban secara terbuka kerana Taliban adalah kerajaan yang mentadbir Afghanistan.

“Kerajaan Taliban perlukan sokongan untuk membangunkan semula negara tersebut selepas berjaya mencapai kemenangan dan kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan.

“Namun, kita tidak akan sama sekali menyokong apa sahaja bentuk keganasan yang berlaku di Afghanistan, keganasan bukanlah cerminan kerajaan Islam yang PAS perjuangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Normah Ishak dalam webinar bertajuk, ‘Alumni Afghan Generasi Seterusnya? Penilaian daripada SEA’ mendakwa PAS menggunakan Taliban demi meningkatkan imej Islamiknya.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, perjuangan Islam adalah perjuangan PAS dan isu-isu membabitkan Islam sama ada di Malaysia mahu pun negara-negara Islam adalah berbeza seperti Afghanistan dan Palestin akan terus diperjuangkan.

Malah, Khairil Nizam turut berkata, rekod pentadbiran parti itu di Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah bukti kejayaan dan perjuangan Islam PAS yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

“Hak dan kebebasan masyarakat bukan Islam juga terpelihara.

“Imej Islamik pada pentadbiran PAS di negeri-negeri tersebut tidak menjadi penghalang pembangunan dan peningkatan pelaburan luar,” katanya.

Beliau menegaskan, semua perkara tersebut membuktikan PAS tidak memerlukan retorik sokongan politik kepada sesetengah kumpulan untuk meningkatkan imej Islam parti.

Justeru, beliau menyeru seluruh umat Islam memberi sokongan kepada Afghanistan untuk bangun semula membina negara mereka berlandaskan kesejahteraan yang dianjurkan Islam dan terus menegakkan Islam di Afghanistan tanpa menggunakan keganasan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button