Berita UtamaDunia

Presiden Ukraine dakwa keadaan di Borodyanka mengerikan dengan mayat bergelimpangan

Moscow nafi sasar orang awam, dakwa imej ‘mayat’ dikeluarkan Ukraine perbuatan sengaja

KYIV, 6 Ramadan 1443H, Jumaat – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkongsi situasi di bandar Borodyanka sambil menyifatkan bandar tersebut lebih mengerikan berbanding di Bucha dengan keadaan mayat bergelimpangan di merata kawasan selepas tentera Russia didakwa membunuh ratusan orang awam di bandar berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan berkata, lebih 300 penduduk terkorban dan dibunuh secara kejam apabila tentera Russia menyasarkan orang awam di Bucha kira-kira 35 kilometer, barat daya bandar Kyiv.

Moscow bagaimanapun menafikan menyasarkan dan membunuh ratusan orang awam dan berkata, imej mayat-mayat bergelimpangan di Bucha dikeluarkan kerajaan Ukraine adalah perbuatan sengaja diperbesarkan selain dilihat sebagai menggagalkan usaha rundingan damai.

“Kerja-kerja membersihkan runtuhan di Borodyanka telah dimulakan dan keadaan di sana sangat mengerikan, kelihatan banyak mayat-mayat ditemukan yang menjadi mangsa tentera Russia,” kata Zelensky menerusi video yang dimuat naik di Telegram, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan maklumat penuh atau bukti selanjutnya berkaitan dakwaan bahawa Russia bertanggungjawab di atas kematian orang awam di bandar berkenaan.

Pembunuhan beramai-ramai orang awam di bandar Bucha telah mendapat kutukan secara meluas oleh Barat sambil menyifatkan tindakan berkenaan sebagai jenayah perang.

Sementara itu, Moscow pula berkata, satu daripada sasaran kempen ketenteraannya adalah untuk ‘membebaskan’ tempat yang kebanyakkan dihuni penduduk Russia iaitu di Pelabuhan Mariupol daripada ancaman pembunuhan beramai-ramai oleh rakyat Ukraine sendiri, yang dikatakan menggunakan orang awam sebagai perisai.

Namun, Zelensky menolak dakwaan itu sambil berkata alasan yang dinyatakan Russia adalah tidak berasas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button