Berita Utama

Kes Bella: WAFIQ sokong petisyen desak menteri tamatkan khidmat Syed Azmi

Bimbang ada isu integriti, ‘conflict of interest’ dengan keberadaan Syed Azmi

BANGI, 7 Ramadan 1443H, Sabtu – Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menyokong petisyen dalam talian yang mendesak penamatan pelantikan aktivis Syed Azmi Alhabshi sebagai Penasihat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Petisyen itu turut mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun supaya menamatkan pelantikan Syed Azmi sebagai Ahli Pemegang Amanah (APA) Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Menurut petisyen yang dibuat oleh tiga individu, Syed Azmi merupakan penasihat dan pengasas bersama pusat perlindungan yang menempatkan seorang remaja perempuan sindrom Down bernama Bella yang disyaki telah didera.

Menyokong petisyen itu, Presiden WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, dari sudut perubatan beliau berasa amat terkesan dengan penyeksaan yang dilakukan ke atas Bella.

Beliau bahkan menyifatkan keganasan ke atas mana-mana kanak-kanak adalah sangat kejam.

Mengikuti rapat kes itu dan menggesa supaya keadilan dapat dicapai, beliau justeru menzahirkan sokongan kepada petisyen itu kerana ternyata terdapat isu integriti dan percanggahan kepentingan (conflict of interest).

“Percanggahan kepentingan ini berlaku apabila Penasihat MBKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pemegang Amanah YKN (Syed Azmi) juga merupakan Pengasas Bersama Pusat Perlindungan Rumah Bonda NGO di mana Bella ditempatkan.

“Keberadaan Syed Azmi dalam posisi itu umpama prinsip menegakkan keadilan dan hak kanak-kanak seakan-akan goyah dan terpilih,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Sementara itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada sukarelawan, Mona Din dan sahabat beliau yang memastikan perjuangan #justiceforbella kekal sehingga Bella mendapat keadilan yang sewajarnya.

Petisyen ‘Penamatan Lantikan Syed Azmi Sebagai: Penasihat MBKK WPKL dan Pemegang Amanah YKN KPWKM’ dilancarkan di platform change.org.

Petisyen berkenaan dibuat oleh tiga individu iaitu pensyarah Muhamad Firdaus Ibnil Hajar serta dua orang peguam Fatihah Jamhari dan Megat Syezlee Mokhtarom.

Ia dibuat berikutan kes seorang gadis remaja sindrom Down berusia 13 tahun, Bella yang disyaki telah didera ketika berada di bawah jagaan Pusat Perlindungan Rumah Bonda yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button