Berita Utama

KPDNHEP usaha perbaiki mekanisme subsidi, cari alternatif kurangkan ketirisan

Tong gas memasak terjual sehingga ke negara jiran tak sepatutnya berlaku

TAWAU, 7 Ramadan 1443H, Sabtu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam usaha menambah baik mekanisme penyaluran subsidi dan meneliti alternatif lain untuk mengurangkan ketirisan apabila barangan bersubsidi itu turut dinikmati penduduk negara jiran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat tular berkaitan isu tersebut melalui media sosial, misalnya tong gas memasak terjual sehingga ke negara jiran dan perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

“Di sini 14 kilogram tong gas dijual dengan harga RM26 sahaja tetapi di sana (negara jiran) harga itu mencecah sehingga RM70 satu tong, harga RM26 ini adalah sebab kerajaan beri subsidi, tetapi ini mendorong pula berlaku ketirisan.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keberkesanan program penyeragaman harga serta kawasan pengedaran barang kawalan dan bersubsidi di Kampung Sungai Tongkang dan Kampung Mentadak di Pulau Sebatik dekat sini hari ini.

Menurut Rosol, pihaknya juga meneliti beberapa cadangan termasuk penggunaan cip hologram pada tong gas untuk memudahkan barangan berkenaan dikesan.

“Pada tahun ini kerajaan memperuntukkan RM680 juta membabitkan program penyeragaman harga, program penstabilan harga minyak masak serta subsidi tepung gandum kegunaan am.

“Apabila ada pilihan yang difikirkan sesuai untuk dilaksanakan di beberapa kawasan, untuk dilihat keberkesanannya, yang penting RM680 juta dibelanjakan kerajaan itu tidak dibelanjakan untuk yang tidak sepatutnya,” katanya.

Katanya lagi, Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Pulau Sebatik dan Kalabakan memainkan peranan penting dalam membantu penguat kuasa membanteras penyelewengan dan penyeludupan barangan subsidi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button