Rakyat Palestin dihalang sambut malam Ramadan 7 hari berturut
Polis Israel guna kekerasan berlebihan tanpa kira usia

BAITULMAQDIS, 7 Ramadan 1443H, Sabtu – Selama tujuh malam berturut-turut sejak bermula bulan mulia, polis Israel menggunakan kekerasan untuk menghalang rakyat Palestin daripada menyambut malam Ramadan di plaza Pintu Damsyik di Baitulmaqdis.
Saksi berkata, polis menyerang penduduk Palestin yang berkumpul berhampiran dan sekitar Pintu Damsyik – salah satu pintu utama ke Kota Lama Baitulmaqdis – menggunakan kekerasan yang berlebihan terhadap mereka, menahan beberapa orang dan mencederakan yang lain.
Polis – sebahagian daripada mereka berpakaian biasa – bergegas dan menggunakan kekerasan ke atas rakyat Palestin, tanpa mengira usia dan memaksa mereka meninggalkan kawasan itu.
Menurut pakar perubatan Palestin, dua orang cedera dalam serangan itu dan seorang daripada mereka dibawa ke hospital dengan kecederaan mata akibat tembakan peluru getah.
Selain itu, dua yang lain turut ditahan.
Penduduk Palestin secara tradisi akan berada di sekitar Pintu Damsyik selepas solat Isyak berdekatan Masjid al-Aqsa ketika Ramadan.
Bagaimanapun, polis Israel menghalang mereka daripada berada di kawasan itu. – Agensi