Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Ribuan umat Islam tunai solat Jumaat pertama Ramadan di Al-Aqsa

Situasi berlalu dengan aman walau ada kebimbangan keganasan berulang

BAITULMAQDIS, 7 Ramadan 1443H, Sabtu – Puluhan ribu umat Islam berpusu-pusu ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis pada Jumaat pertama Ramadan untuk menunaikan solat Jumaat.

Situasi di sini berlalu dengan aman walaupun terdapat kebimbangan mengenai berulangnya keganasan Israel-Palestin yang meletus ketika bulan suci umat Islam tahun lepas.

Selepas dua tahun sekatan COVID-19, negara pengganas Israel membenarkan beberapa rakyat Palestin dari Tebing Barat yang memegang permit perjalanan memasuki Baitulmaqdis.

Bagaimanapun, ketegangan kembali memuncak di kota suci itu kepada orang Kristian, Yahudi dan Muslim.

Sebelum ini, agensi berita WAFA Palestin melaporkan, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengecam serangan pada Khamis lalu sambil memberi amaran berhubung tindakan ‘meneruskan pencerobohan berulang kali ke dalam Masjid al-Aqsa dan tindakan provokatif kumpulan peneroka pelampau.’

Beberapa hari sebelum bermulanya Ramadan, Ahli Parlimen Israel berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir melawat perkarangan Masjid al-Aqsa, yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount, dalam satu langkah yang dilihat oleh rakyat Palestin sebagai provokasi.

Masjid al-Aqsa, yang terletak di atas dataran tinggi di tengah-tengah Kota Lama Baitulmaqdis adalah salah satu tapak paling sensitif dalam konflik Timur Tengah.

Tahun lalu, ia menyaksikan pertempuran setiap malam antara rakyat Palestin dan polis Israel ketika bulan puasa.

Ancaman pemindahan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur dan serbuan polis di Masjid al-Aqsa mencetuskan perang Israel-Gaza selama 11 hari yang mengorbankan lebih 250 rakyat Palestin di Gaza dan 13 orang di Israel.

Israel menawan Baitulmaqdis Timur dalam perang 1967, kemudian mengilhakkannya, dalam satu langkah yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Rakyat Palestin mahu Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara merdeka masa depan mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button