Tentera Israel bunuh pejuang Briged al-Quds dalam serbuan di kem Jenin
13 cedera termasuk seorang wanita ditembak Zionis

RAMALLAH, 7 Ramadan 1443H, Sabtu – Pasukan keselamatan negara pengganas Israel menembak mati seorang warga Palestin di kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, seramai 13 rakyat Palestin lain cedera akibat tembakan dilepaskan tentera Israel hari ini termasuk seorang wanita berusia 19 tahun dengan peluru terkena di perut.
Warga Palestin yang terbunuh dikenali sebagai Ahmad al-Saadi yang dilaporkan anggota Briged al-Quds (Saraya al-Quds), sayap tentera gerakan Jihad Islam.
Tentera Israel memberitahu agensi berita AFP bahawa operasi ketenteraan sedang dijalankan di kem Jenin, kubu kuat gerakan bersenjata Palestin di utara Tebing Barat yang diduduki.
Serbuan itu berlaku sehari selepas pasukan keselamatan Israel menembak mati Raad Hazem, 28, yang didakwa lelaki bersenjata yang membunuh tiga warga Israel dan mencederakan lebih 12 orang di daerah kelab malam yang popular di Tel Aviv pada Khamis lalu.
Menurut laporan, serbuan itu – yang berlangsung selama kira-kira dua jam – bermula dengan tentera mengepung rumah Hazem dan meminta bapa beliau menyerah diri namun dia menolak.
Selain itu, tentera Israel turut menyerbu perkampungan Burqin dekat Jenin, dilaporkan dalam operasi menahan bekas tahanan Palestin, Nour al-Din Hamada.
Kira-kira dua kecederaan dilaporkan dalam serbuan itu. – Agensi