Berita Utama

Harga mahal, kualiti tak setimpal ibarat ambil harta secara batil: Mufti

Bukti hati kotor dan pentingkan diri sendiri

BANGI, 8 Ramadan 1443H, Ahad – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan, tindakan peniaga meletakkan harga mahal dengan kualiti yang tidak setimpal diibarat mengambil harta secara batil.

Beliau menegaskan, Islam juga melarang umatnya melakukan penipuan dalam perniagaan.

“Perbuatan itu juga menggambarkan hati seseorang itu tidak bersih kerana tergamak menipu dalam perniagaan terutamanya pada bulan Ramadan.

“Islam adalah agama keamanan dan membawa mesej rahmat untuk semesta alam. Apa jua tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat dan menafikan rahmat dan kasih sayang antara sesama manusia adalah haram menurut hukum syarak.

“Tindakan sebahagian peniaga menaikkan harga barang-barang sewenang-wenangnya dengan mengambil kesempatan daripada keperluan dan hajat orang ramai adalah termasuk di dalam pengertian mengambil harta manusia secara batil,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Wan Salim berkata demikian sebagai mengulas mengenai peniaga bazar Ramadan yang menaikkan harga makanan selain kualiti makanan tidak setimpal dengan harga dijual.

Sebelum ini, sesetengah peniaga bazar Ramadan di beberapa negeri dikatakan menaikkan harga juadah sehingga 30 peratus.

Peniaga berkenaan memberi alasan ianya terpaksa dilakukan kerana berlaku kenaikan harga barang mentah, sewa tapak dan kos memasak.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, perbuatan peniaga seperti itu jelas membuktikan hati yang kotor dan sifat mementingkan diri sendiri selain tidak peka terhadap kesusahan orang lain.

Malah, tegas beliau Islam sangat melarang umatnya berbuat sedemikian.

“Ini bukan akhlak seorang yang beriman yang sepatutnya bersimpati dan sensitif terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara sesama Islam.

“Perbuatan meletakkan harga barang keperluan yang tinggi termasuk makanan serta mengeksploitasi hajat orang ramai untuk menikmati juadah amat tidak wajar,” katanya.

Katanya lagi, sempena Ramadan, peniaga sepatutnya jujur dalam menjalankan perniagaan selain lebih mementingkan membuat kebajikan demi meraih pahala berganda.

“Ia juga bagi merealisasikan amalan saling tolong menolong dalam membuat kebajikan yang amat digalakkan di dalam Islam.

“Saya menasihati para peniaga terutama yang beragama Islam supaya tidak mengambil keuntungan yang melampau dengan menaikkan harga jualan sesuka hati, sebaliknya mereka perlu mencari keberkatan hidup dengan bertimbang rasa kepada sesama insan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button