Berita UtamaIstimewa

Segerakan pembentangan RUU Anti Lompat Parti, gesa BERJASA

Bimbang situasi katak melompat cari dahan rendang untuk terus kenyang

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Ramadan 1443H, Ahad – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu disegerakan supaya berperanan sebagai benteng bagi membendung amalan politik tidak bermoral.

Ia juga penting dalam mendisiplinkan golongan tersebut untuk terus setia kepada parti yang mereka perjuangkan.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, setiap ahli politik perlu diawasi dengan RUU itu memandangkan ramai daripada mereka kini sudah hilang sikap integriti.

“BERJASA melihat menjadi keperluan buat masa ini untuk RUU Anti Lompat Parti dibentangkan segera kerana mampu mengawal ahli politik memandangkan ramai ahli politik yang ada hari ini yang berperangai tiada integriti.

“Sebaliknya mereka menceburi kerjaya politik untuk memperkudakan rakyat demi kepentingan peribadi mereka.

“Sebab itu apabila dilantik oleh rakyat dan ia akan kekal kepada parti tersebut, namun apabila mereka merasakan tiada kekuatan untuk berkuasa, dia akan beralih parti lain yang boleh menjamin tentang kuasa dan jawatan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penangguhan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di sidang Dewan Rakyat khas, esok.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata, RUU itu perlu dipandang serius supaya tiada lagi situasi katak lompat dalam kalangan ahli politik yang mencari dahan rendang demi mengejar kekuasaan atau jawatan.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan sampai bila negara mampu bertahan dengan sikap pemimpin seperti ini dan menggesa satu perubahan drastik dibuat.

Dalam pada itu, Ustaz Zamani melahirkan rasa hairan dengan kesungguhan UMNO untuk menyegerakan RUU Anti Lompat Parti.

Adakah kesungguhan itu ikhlas atau sekadar mahu menjaga kepentingan parti, memandangkan ramai wakil rakyat mereka beralih arah selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu, soalnya.

“Kebimbangan itu adakah disebabkan merugikan UMNO atau sekadar menjaga kepentingan parti.

“Kita mestilah ikhlas menyokong RUU ini disegerakan demi untuk kepentingan rakyat dan kebertanggungjawaban setiap wakil rakyat kepada rakyat yang memberi kuasa selepas menang dalam pilihan raya,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button