Berita Utama

Ahmad Razif nafi lepaskan kerusi kepada Khairudin pada PRU15

Sifatkan laporan tidak masuk akal, lawak, karut dan memalukan

BANGI, 8 Ramadan 1443H, Ahad – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan, dakwaan beliau bersedia melepaskan kerusi yang disandang kini kepada bekas ahli PAS, Datuk Seri Dr Khairudin Aman Razali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian sambil menyifatkan berita yang tular di sebuah portal sebagai palsu dan fitnah berat kepada dirinya.

“Saya ingin menegaskan bahawa status Facebook tersebut adalah tidak benar, palsu dan merupakan fitnah berat dilemparkan kepada saya yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai ADUN Seberang Takir.

“Laporan itu juga langsung tidak masuk akal, lawak, karut dan memalukan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Selesai saya bersolat Tarawih semalam, saya menerima banyak panggilan telefon yang bertanyakan tentang satu status facebook yang disiarkan melalui akaun “Terengganu Repot” yang menyatakan saya telah mengeluarkan kenyataan kononnya saya sanggup melepaskan kerusi DUN Seberang Takir kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus itu pada PRU15 nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebih menyedihkan lagi beliau berkata, fitnah tersebut disebarkan pada bulan Ramadan yang mulia.

Menjelaskan situasi sebenar, beliau berkata, kehadirannya di majlis berkenaan adalah atas kapasiti ADUN Seberang Takir dan meraikan majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal dan masyarakat di Parlimen Kuala Nerus.

Bagaimanapun majlis tersebut juga turut dihadiri Khairuddin selaku Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Malah tegas beliau, tiada sebarang kenyataan pun dikeluarkan sebagaimana yang dilaporkan oleh akaun Facebook tersebut.

Ahmad Razif merupakan Menteri Besar Terengganu ketika Barisan Nasional (BN) memerintah negeri itu pada PRU lalu sebelum ini dilantik sebagai ketua pembangkang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button