Berita Utama

Bapa ditahan bantu siasatan kes bayi 3 bulan maut disyaki tersedak susu

Bapa berusia 20-an itu ditahan ketika beri keterangan

KUALA LUMPUR, 8 Ramadan 1443H, Ahad – Seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes bayi berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah rumah di Bukit Gasing, Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang juga bapa kepada mangsa itu telah memberikan susu kepada bayi lelaki tersebut pada 2 petang semalam sebelum meninggalkan mangsa seorang diri untuk keluar bekerja.

“Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kembali ke rumah kira-kira dua jam kemudian dan mendapati anaknya tidak bernafas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata mangsa kemudiannya dihantar oleh bapanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada kira-kira 4.20 petang namun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian mangsa.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (A) Akta Kanan-Kanak 2001 dan lelaki berkenaan ditahan reman empat hari sehingga 13 April ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button