Berita Utama

7 lolos dari Penjara Jelebu, seorang sudah ditahan

Polis kini memburu baki 6 lagi tahanan yang meloloskan diri

SEREMBAN, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Polis menahan seorang lelaki dan sedang memburu enam lagi yang telah meloloskan diri dari Penjara Jelebu dekat sini kira-kira pukul 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Maslan Udin berkata Sohaimi Khalid, 50, berjaya ditahan semula di kawasan kebun kelapa sawit di Kongkoi kira-kira dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 malam.

Beliau berkata enam lagi yang masih diburu ialah Mazlan Samah, 39, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28, Shazuan Md Sharif, 32, Mohd Zairizan Zainal, 42, Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dan seorang lelaki dikenali sebagai Zainuddin.

Dalam kenyataan di sini beliau berkata bantuan unit anjing pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS) dan Jabatan Penjara turut digerakkan bagi mengesan kesemua mereka.

Menurutnya selain siasatan berkaitan tindakan suspek melarikan diri, siasatan juga berkisar kepada kemungkinan berlaku kecuaian sehingga menyebabkan orang tahanan meloloskan diri.

Maslan berkata orang ramai dengan maklumat yang boleh membantu polis dalam memburu mereka yang terlibat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menelefon Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu dengan menelefon 06-6136222 atau Bilik Gerakan IPD Jelebu 06-6137999. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button