Berita Utama

Didakwa tiada permintaan, KPM mahu teruskan pembinaan SJKC Sim Mow Yu

Projek ditangguh pada 2019 akan dimulakan serta-merta selepas proses semakan

BANGI, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon menyalahkan Pakatan Harapan (PH) kerana menangguhkan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sim Mow Yu di Kota Masai, Johor.

Beliau berkata, ketika PH memerintah, pembinaan SJKC itu ditangguhkan pada 2019 atas alasan tiada permintaan.

Bagaimanapun katanya, jawatankuasa pembinaan sekolah itu telah menyerahkan maklumat yang diperlukan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan kembali rancangan pembinaan berkenaan.

Menurut Hang Soon, pelan pembinaan SJKC Sim Mow Yu akan dimulakan serta-merta sebaik sahaja Jabatan Perancangan dan Penyelidikan Pembangunan Pendidikan KPM menyelesaikan proses semakan.

“Kementerian Pendidikan juga berharap kanak-kanak di Kota Masai akan mendapat akses kepada pendidikan Cina apabila SJKC Sim Mow Yu dibina kelak,” katanya seperti dilapor Oriental Daily pada 25 Mac lalu.

Hang Soon menegaskan bahawa SJKC Sim Mow Yu adalah salah satu daripada 10 SJKC baharu yang diluluskan oleh KPM pada Oktober 2017 dan beralamat di Kota Masai, Johor.

Katanya, pemimpin MCA juga telah mengadakan majlis pecah tanah di tapak sekolah berkenaan pada Mac 2018, namun selepas PH ambil alih kuasa, rancangan pembinaan SJKC itu ditangguhkan pada 2019.

“Timbalan Menteri ketika itu Teo Nie Ching mendakwa tiada permintaan dari murid-murid di daerah itu, lalu menangguhkan rancangan membina SJKC Sim Mow Yu,” katanya.

Hang Soon berkata, sebaik dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada 2020, beliau meneliti rancangan pembinaan 10 buah SJKC baharu dan pembinaan sekolah untuk menempatkan enam SJKC sedia ada, termasuk SJKC Sim Mow Yu.

Beliau menegaskan bahawa telah berkali-kali bertemu dengan Jawatankuasa Pembinaan SJKC Sim Mow Yu bagi membincangkan proses pembinaan sekolah itu.

Katanya, pada Februari tahun ini, satu perjumpaan telah diatur di antara pihak jawatankuasa itu dengan Pegawai Biro Pendidikan Negeri Johor serta pegawai majlis bandaraya bagi membincangkan pembinaan sekolah.

Beliau berkata, rancangan ini telah ditangguhkan pada 2019, maka pihak jawatankuasa perlu menyerahkan semula maklumat untuk membolehkan KPM memulakan rancangan pembinaan.

Malah katanya, isu berkaitan pembinaan sekolah berkenaan telah dijelaskan secara terperinci oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin di Parlimen sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button