Dunia

Iraq: Puluhan alami masalah pernafasan akibat ribut debu

Keadaan jadi kerap disebabkan kemarau, taburan hujan rendah

BAGHDAD, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Ribut debu yang melanda sebahagian besar Iraq menyebabkan puluhan rakyat terlantar di hospital akibat masalah pernafasan, kata Jurucakap Kementerian Kesihatan.

Ribut yang berlaku di utara negara itu pada Khamis turut mengakibatkan pembatalan operasi penerbangan di wilayah autonomi Kurdistan.

Langit berwarna oren menyelubungi Baghdad dan bandar-bandar berdekatan di selatan Nasiriyah ketika ribut melanda selatan negara ini.

Di ibu negara, bangunan dan kenderaan diselaputi habuk berwarna, lapor AFP.

“Ribut itu telah menyebabkan berpuluh-puluh orang dimasukkan ke hospital di seluruh Iraq kerana masalah pernafasan,” kata Jurucakap Kementerian Kesihatan, Saif Al-Badr.

Pengarah Pejabat Meteorologi Iraq, Amer Al-Jabri berkata, walaupun ribut debu bukan perkara luar biasa di Iraq, keadaan itu menjadi lebih kerap disebabkan kemarau dan taburan hujan yang rendah.

Iraq amat terdedah kepada perubahan iklim setelah menyaksikan rekod taburan hujan rendah dan suhu tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pakar berkata, faktor ini mengancam suasana sosial dan ekonomi di negara yang dilanda perang itu.

Pada November, Bank Dunia memberi amaran bahawa Iraq boleh mengalami kejatuhan 20 peratus dalam sumber air menjelang 2050 akibat perubahan iklim. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button