Dunia

Korban perang Russia-Ukraine kini cecah 1,793

2,439 lagi dilaporkan cedera sejak konflik 24 Februari lalu: PBB

GENEVA, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Angka kematian orang awam dalam perang Russia-Ukraine dilaporkan meningkat kepada 1,793, manakala jumlah pelarian juga kini melebihi 4.5 juta, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) dalam satu kenyataan berkata, sekurang-kurangnya 2,439 lagi orang dilaporkan cedera di Ukraine sejak 24 Februari lalu.

Bagaimanapun, agensi itu kekal mengulangi bahawa angka sebenar dijangka jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

“Kebanyakan korban awam yang direkodkan berpunca daripada penggunaan senjata letupan dengan kawasan impak yang luas, termasuk tembakan daripada artileri berat dan sistem roket pelancar berganda serta peluru berpandu dan serangan udara,” kata kenyataan itu.

Data Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan bilangan pelarian perang Ukraine juga meningka kepada 4,503,954 sejak permulaan perang.

Kebanyakan mereka telah pergi ke negara jiran – lebih 2.59 juta ke Poland, 686,232 ke Romania, 419,101 (Hungary), 410,882 (Maldova), 404,418 (Russia), 314,485 (Slovakia) dan 19,096 ke Belarus – menurut angka terkini UNHCR.

Berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal di Ukraine dengan kemas kini daripada Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi awal minggu ini meletakkan jumlah itu pada 7.1 juta. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button