Berita Utama

Longgokan makanan bantuan hingga basi amat menyedihkan

Jangan terlalu pentingkan diri dalam menjalankan kerja amal, kerjasama semua pihak penting

BANGI, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Orang awam diminta untuk menghubungi mana-mana badan kebajikan sebelum menghulurkan bantuan bagi mendapatkan maklumat sebenar situasi di kawasan mereka.

Bahkan, adalah lebih baik jika mereka mengamanahkan kepada yang lebih arif dalam agihan bantuan daripada ia dibiarkan rosak, basi dan terbiar, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

“Amat menyedihkan melihat longgokan makanan di bahu jalan terbiar begitu sahaja dan bayangkan jika dana yang digunakan untuk membeli, memasak makanan itu diberikan kepada pihak sepatutnya dan bantuan sampai kepada penerima selayaknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan tular di media sosial berlaku pembaziran dalam keghairahan orang ramai menghulurkan sedekah khususnya kepada warga gelandangan di ibu kota.

Beliau memaklumkan, PPIM melalui Unit Kebajikan PPIM menjalankan aktiviti bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan.

Katanya, PPIM mendapatkan maklumat dari pemohon secara terus dan menyampaikan bantuan mengikut keperluan mereka.

Katanya lagi, pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan semua rakyat yang memerlukan boleh dibantu.

“Bagi mereka yang ingin bersama PPIM menyampaikan sumbangan boleh layari laman web ppim.org.my dan sumbangan.com atau hubungi Unit Kebajikan PPIM di +0123578663 (Pn Siti Khadijah),” katanya.

Selain itu, Nadzim mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu mementingkan diri dalam menjalankan kerja amal, sebaliknya kerjasama semua pihak amat penting.

“PPIM mengajak orang ramai beribadah dan meningkatkan amal sepanjang bulan Ramadan

“Semoga segala kebaikan dan kerja amal yang dijalankan akan berterusan selepas Ramadan berlalu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button