Kolumnis

Perkasakan BM dalam negara dahulu, baru bercakap soal pengantarabangsaan

Sekian lama merdeka, kita masih gagal bina negara bangsa berteras jati diri

HANYA sebahagian yang bersama Perdana Menteri (PM) dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu (BM). Bukan Melayu langsung tidak mengendahkannya.

Dalam kata lain, kita masih berbelah bahagi dalam soal pembinaan negara bangsa. Sedangkan negara lain semua bersatu hati.

Kita terus berpolitik. Kerana takut sokongan politik beralih, lebih-lebih menjelang pilihan raya. Agenda negara sebesar ini dibiarkan begitu saja.

Lebih malang lagi, sebahagian orang Melayu sendiri tidak menunjukkan minat langsung.

Persoalannya, boleh tercapai hasrat PM untuk mengantarabangsakan BM, sehingga ke ASEAN (juga dunia) sedangkan dalam negara sendiri kita telah gagal?

Adakah BM digunakan sepenuh dalam negara? Ini persoalan terlalu sukar dijawab?

Paling menghairankan kenapa kita tidak bertegas sejak dahulu sedangkan ia bahasa negara.

Cuba bandingkan dengan Indonesia juga negara lain di dunia, dalam cara mereka memperkasakan bahasa negara. Beza antara langit dengan bumi. Ketegasan tanpa kompromi. Lain dengan kita.

Di Indonesia, semua rakyat, tanpa berkecuali, fasih berbahasa Indonesia. Kita pula bagaimana? Masih lagi dengan lu tatak…lu tatak…bulung bulung telebang di angkase….

Jangan pergi jauh, tonton sahaja program realiti Indonesia, yang disertai berbilang kaum dan agama seperti X factor. Peserta dari berbilang kaum amat fasih berbicara dan menyanyi dalam bahasa Indonesia. Tidak ada seorang pun yang pelat.

Dahulu, sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, kita masih lagi boleh bersedap hati. Ada ramai artis berbilang kaum terlibat dalam dunia seni, nyanyian dan lakonan. Mereka dapat menghayati watak dengan baik. Bahasa Melayu yang diluahkan menusuk ke dalam hati.

Lagu-lagu hari raya dendangan penyanyi India seperti DJ Dave dan kumpulan Cenderawasih terus berputar menjelang raya dan ketika raya.

Begitu juga penyanyi lain seperti Andre Goh, Francisca Peters, Roy, Kumpulan Alleycats, Lanny Lim Mui Lan, Ben Nathan, Kenny Remy dan Martin, ramai lagi. Penghayatan mereka, menusuk sanubari.

Hari ini bagaimana? Bukan tidak ada, ada, tetapi penghayatan tidak sampai ke hati.

Saya masih belum jumpa artis Cina menyanyikan lagi raya menusuk kalbu berbanding dengan orang Melayu menyanyikan lagu Gong Xi Fa Cai.

Begitu juga dalam bidang sukan, dulu sukan bola sepak kita begitu berwarna-warni. Kita ada Santokh Singh, Soh Chin Aun, James Wong, Arumugam dan lain-lain.

Kini, tiada lagi, sukan sudah menjadi satu warna. Sukan melibatkan ramai orang sudah tidak menjadi pilihan bukan Melayu. Mereka lebih suka sukan individu atau pasangan. Bila menang sedikit, bahasa apa yang digunakan.

Cuba buat kajian berapa kerat bahasa Melayu dimartabatkan dalam negara? Berapa ramai rakyat Malaysia yang boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Kenapa pemimpin negara terdahulu tidak melakukannya usaha mendaulatkan sedangkan ia adalah bahasa kebangsaan?

Indonesia mahu menggunakan bahasa Indonesia daripada bahasa Melayu, meskipun pada kita ada apa dengan nama. Paling penting, dunia tahu bahawa ini alam Melayu atau Malay Archipelago, bukan Indonesia Archipelago. Malang sekali, sesama bangsa masih berbahas soal nama. Lupakanlah.

Persoalannya, bagaimana mahu memartabatkan bahasa Melayu jika dalam negara ia tidak dimartabatkan? Cuba teliti beberapa perkara berikut:

Pertama, BM dalam kalangan pemimpin politik seperti MCA, Gerakan, DAP, MIC dan sebagainya. Cuba dengar ketika mereka berucap di Parlimen. Kenapa jadi begitu?

Jawapan mudah, sebab wujudnya sekolah berasaskan kaum yang memisahkan. Selain itu, mereka tidak bergaul. Sekolah Cina, kawan-kawan Cina, balik rumah cakap Cina. Nak pandai macam mana bahasa Melayunya.

Pemimpin pantang ditanya soalan oleh wartawan, terus bercakap dalam bahasa asing.

Kedua, dalam kalangan ahli perniagaan atau korporat. Berapa ramai yang boleh bercakap dalam Melayu. Semua bercakap dalam bahasa asing.

Di pejabat mereka boleh dikatakan sepatah haram tidak ada bahasa Melayu, kecuali tanda keluar di pintu kecemasan. Itulah nilai BM hanya di pintu. Kadang-kadang langsung tidak ada, diganti dengan exit.

Lebih malang lagi pejabat GLC kerajaan pun sudah mula tidak ada bahasa Melayu, cuba masuk ke CIMB, Maybank, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lain-lain. Tabung Haji pun sudah jadi orang putih, nak buat macam mana. Ini belum masuk ke Hong Leong Bank, Alliance Bank dan bank persendirian.

Jauh bezanya bila masuk ke IKEA, bahasa Melayu betul-betul didaulatkan.

Pelik sungguh, pusat beli-belah luar negara begitu menghormati bahasa Melayu. Tetapi pusat beli-belah tempatan, langsung tidak daulatkan BM. Ini belum termasuk nama papan tanda, nama kedai dan taman perumahan.

Ketiga, begitu juga dalam kalangan pelajar sekolah, terutama pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan persendirian. Bila lagi BM mahu diperkasakan. Subjek BM hanya merempat sahaja di SJKC dan sekolah persendirian, begitu juga sekolah antarabangsa.

Keempat, BM dalam nama-nama taman dan bangunan. Keadaan hari ini menjadi semakin serius tanpa kawalan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) semakin lena dibuai mimpi. Sudah mati mata hati. Apabila saya memasuk ke Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, nama-nama taman perumahan dan pusat komersial macam nama sial. Langsung tidak ada jati diri, langsung tidak mencerminkan sejarah Teluk Panglima Garang.

Ia sudah ditutupi dengan nama-nama teramat asing. Nama taman dan pusat komersial telah menjadi Twenty Five 7, Quayside Mall, Sanctuary Mall, Tropicana dan banyak lagi taman baharu yang sangat asing.

Janganlah masuk ke kawasan Subang, nama bangunan GeoSense, Geolake, Geo Avenue dan lain-lain sehingga memuntahkan perjalanan menuju Teluk Panglima Garang

Pendek kata, nama-nama taman perumahan, nama bangunan, pusat membeli-belah, langsung tidak mencerminkan jati diri negara.

Kelima, BM dalam papan tanda, kain rentang, notis dan lain-lain. Saya lihat sebahagian besar syarikat bukan Melayu dan iklan kain rentang mereka, langsung tidak mendaulatkan BM. Semua dalam bahasa ibunda dan asing. PBT terus lena dibuat mimpi.

Terlalu banyak yang mahu diperkatakan apabila bercakap tentang nasib bahasa Melayu di kepulauan Melayu atau Malay Archipelago, bukan Indonesia Archipelago. Sebenarnya kita sudah gagal.

Kita tidak belajar dari negara lain di dunia, yang memberikan kata dua kepada orang asing yang berhijrah ke negara.

Mudah sahaja kata-kata itu, “nak duduk sini, jadi orang sini, jika tidak, angkat kaki”! Semua negara berbuat begitu.

Malangnya kita, kenapa terlalu kemarukkan undi, kita perjudikan agenda negara dengan undi. Kita sahaja terus berlembut sehingga terbit kata-kata bulung, loli, mali, tloli dan lain-lain lagi.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button