Berita Utama

Polis tahan lelaki biadab hina Nabi Muhammad dalam Facebook

Permohonan reman akan dibuat esok

BANGI, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Nabi Muhammad ﷺ di laman sosial Facebook miliknya.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor kira-kira jam 11.15 pagi dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, polis mengesan akaun Facebook Uthaya Sankar SB yang memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad ﷺ pada 7 April lalu.

Katanya, siasatan kini dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan di atas alasan agama suasana tidak harmoni atau perasaan permusuhan atau memudaratkan perpaduan.

“Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abd Jalil berkata, polis akan mendapatkan perintah reman esok mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Pada 6 April lalu, sebuah portal tempatan memetik kenyataan pelakon Iman Zulkarnain yang meluahkan kekesalan setelah berpoligami kerana dia seolah-olah mengecewakan isterinya.

Artis itu mengakui kegagalannya untuk berlaku adil dari segi emosi hingga mengakibatkan dia akhirnya berdepan perceraian sebanyak dua kali.

Katanya, pada awal dia beranggapan mampu berpoligami secara adil namun sangkaannya itu akhirnya meleset.

Iman yang mempercayai ada hikmah di sebalik kejadian ini menitipkan pesanan agar lelaki di luar sana ‘jangan cari penyakit.’

Susulan kenyataan Iman itu, Uthaya Sankar yang merupakan Pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan pula bertindak memberi ulasannya sendiri sambil memetik sebuah hadis berhubung amalan poligami.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button