Berita UtamaDunia

Rejim Zionis tembak mati bekas tahanan Palestin

Peluru dilapor tembusi dada lelaki berusia 21 tahun

RAMALLAH, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Tentera negara pengganas Israel menembak mati seorang bekas banduan Palestin ketika serbuan di bandar al-Khader, selatan bandar Bethlehem, Tebing Barat yang diduduki.

Sumber tempatan berkata, pemuda dikenali sebagai Mohammad Ali Ghoneim itu ditembak berhampiran rumah beliau ketika serbuan tentera Israel di al-Khader.

Peluru dilaporkan menembusi dada lelaki berusia 21 tahun itu.

Ghoneim dipindahkan ke Hospital Al-Yamama di al-Khader lokasi beliau meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

Jurucakap tentera Israel mendakwa, tentera melepaskan tembakan selepas Ghoneim dilihat melemparkan bom petrol (molotov cocktail) ke arah kenderaan milik warga Israel.

Kejadian itu menandakan warga Palestin yang ketiga ditembak mati pada Ahad.

Terdahulu, tentera Israel menembak mati seorang wanita tidak bersenjata berhampiran Bethlehem yang dikenali sebagai Ghada Ibrahim al-Aridi, seorang balu berusia 47 tahun dari kampung Husan, barat Bethlehem.

Ghada meninggal dunia di sebuah hospital di bandar berhampiran Beit Jala selepas kehilangan banyak darah.

Tentera Israel mendakwa, askar melepaskan tembakan amaran ke udara apabila wanita itu menghampiri mereka sebelum tembakan dilepaskan ke arah ibu kepada enam anak itu.

Tiada senjata ditemui pada badannya, menurut akhbar Israel Haaretz.

Tentera berkata, kejadian itu sedang disiasat.

Beberapa jam selepas kejadian itu, Maha al-Zaatari, 24, ditembak di Hebron selepas didakwa, menikam seorang pegawai polis sempadan Israel di salah satu pusat pemeriksaan di bandar lama dengan pisau.

Pegawai itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap polis Israel mengesahkan, bahawa wanita itu telah ‘dineutralkan’ berhampiran pusat pemeriksaan tentera Israel. – Agensi

Pautan terdahulu; https://ismaweb.net/2022/04/10/zalim-zionis-tembak-mati-ibu-tunggal-ketika-melintasi-pusat-pemeriksaan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button