Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Sektor kesihatan Sri Lanka ‘di ambang’ lumpuh

Kehabisan ubat-ubatan, ada fasiliti terpaksa gantung pembedahan rutin

COLOMBO, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Doktor di Sri Lanka memberi amaran bahawa sektor kesihatan semakin lumpuh akibat kehabisan ubat-ubatan ekoran krisis ekonomi di negara ini yang mengancam kepada angka kematian lebih tinggi susulan pandemik COVID-19.

Ketiadaan bekalan elektrik selama berminggu-minggu dan kekurangan makanan, bahan api serta ubat-ubatan telah membawa kesengsaraan meluas kepada Sri Lanka – yang mengalami kemerosotan paling teruk sejak kemerdekaan pada 1948.

Persatuan Perubatan Sri Lanka (SLMA) berkata, bahawa semua hospital di negara ini tidak lagi mempunyai akses kepada alat perubatan yang diimport dan ubat-ubatan penting.

Beberapa fasiliti kesihatan juga telah menggantung pembedahan rutin sejak bulan lepas kerana kekurangan bekalan bius yang berbahaya, namun SLMA berkata bahawa prosedur kecemasan mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kami perlu membuat pilihan yang sangat sukar. Kami perlu memutuskan siapa yang mendapat rawatan dan siapa yang tidak.

“Jika bekalan tidak dipulihkan dalam beberapa hari, keadaan mangsa akan jauh lebih teruk akibat wabak itu,” kata kumpulan itu selepas menghantar surat kepada Presiden Gotabaya Rajapaksa.

Krisis di Sri Lanka telah mencetuskan kemarahan orang ramai yang menyaksikan protes besar-besar bagi mendesak peletakan jawatan Rajapaksa.

Difahamkan, kerajaan Rajapaksa sedang mencari ‘bailout’ Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk membantu membebaskan Sri Lanka daripada krisis, yang menyaksikan harga makanan naik melambung dan nilai mata wang tempatan jatuh satu pertiga pada bulan lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button