Berita UtamaIstimewa

Abaikan tuntutan Kor Ming, SMPC bukan seliaan kerajaan: iGuru

DAP cuba tekan kerajaan supaya sokong agenda mereka

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 10 Ramadan 1443H, Selasa – Tiada keperluan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) memandangkan ia institusi yang tiada kaitan dengan kerajaan.

Sebaliknya, keutamaan KPM ketika ini adalah sekolah-sekolah kerajaan terutamanya yang berada dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian segera.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Azizee Mohd Hasan melihat, tidak wajar KPM menuruti tuntutan DAP kerana ia bermotifkan politik semata-mata.

“Abaikan sahaja permintaan tersebut kerana semua sudah tahu sekolah berkenaan bukan lagi selian KPM yang perlu diberikan perhatian.

“Sepatutnya KPM bergerak aktif membangunkan semula sekolah kebangsaan untuk memberikan keselesaan kepada pelajar terutama sekolah-sekolah di pedalaman dan berada dalam keadaan daif dan tidak terurus,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming supaya kerajaan mempercepatkan peruntukan sebanyak RM15 juta yang telah dijanjikan kepada SMPC di seluruh negara.

Kor Ming membuat perbandingan ketika di zaman Pakatan Harapan (PH) di mana peruntukan RM15 juta disalurkan kepada 61 SMPC dan RM6 juta kepada tiga kolej swasta Cina.

Mengulas lanjut, Ustaz Azizee menyifatkan, tuntutan wakil rakyat DAP itu sebagai tekanan politik supaya kerajaan menyokong agenda mereka.

“Kami melihat tidak wajar tekanan diberikan sedangkan mereka tahu kedudukan SMPC kini merupakan sebuah sekolah persendirian dan langsung tiada kaitan dengan sekolah kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan, agenda utama KPM kini adalah memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) supaya menjadi pilihan kepada semua kaum.

Katanya lagi, ini sekali gus mampu menjadikan sekolah sebagai medan dalam menyatukan rakyat berbilang bangsa yang ada di negara ini sejak daripada usia muda.

“Ini yang sepatut diterapkan KPM masa ini, perkasakan sekolah, tambahkan lagi keperluan dan prasarana tertentu supaya kaum lain berminat untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan selain dapat belajar dengan selesa dan sempurna.

“Ia bukan sahaja dijamin mampu menyuburkan perpaduan antara kaum tetapi juga mengeratkan hubungan selari Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri kita,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/04/11/dap-gesa-percepatkan-peruntukan-rm15-juta-untuk-smpc/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button