Berita UtamaDunia

Pertempuran di Yaman: 30,000 orang awam kehilangan tempat tinggal

Lebih 13 juta orang berada dalam kebuluran serius

GENEVA, 10 Ramadan 1443H, Selasa – Kira-kira 30,000 orang awam dipindahkan dari rumah mereka di Yaman yang dilanda perang dalam tempoh tiga bulan lalu.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, angka baharu itu ditambah kepada 4.3 juta yang telah kehilangan tempat tinggal sebelum ini akibat pertempuran di seluruh negara.

“Keamanan dan kestabilan yang bertahan lama di Yaman akan membolehkan UNHCR dan rakan kongsi mengusahakan penyelesaian yang tahan lama,” katanya.

Awal bulan ini, Duta PBB ke Yaman, Hans Grundberg berjaya melancarkan gencatan senjata selama dua bulan antara pemberontak Houthi dan kerajaan Yaman, dalam usaha menamatkan konflik selama lapan tahun di negara Arab itu.

Yaman dilanda keganasan dan ketidakstabilan sejak 2014, apabila pemberontak Houthi yang bersekutu dengan Iran menawan sebahagian besar negara itu, termasuk ibu negara, Sanaa.

Pakatan yang diketuai Arab Saudi yang berusaha untuk mengembalikan semula kerajaan Yaman telah memburukkan lagi keadaan, menyebabkan salah satu krisis kemanusiaan buatan manusia yang paling teruk di dunia.

Menurut anggaran PBB, hampir 80 peratus atau kira-kira 30 juta orang memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan bahkan lebih 13 juta berada dalam kebuluran serius. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button