Berita UtamaDunia

7 mayat ditemui di bandar musnah berhampiran Kyiv

Terdapat panggilan daripada mangsa yang berada di bawah runtuhan

BORODYANKA, 10 Ramadan 1443H, Selasa – Ukraine menemui tujuh mayat yang tertimbus dalam runtuhan dua blok perumahan bertingkat di bandar Borodyanka dekat Kyiv, semalam kata perkhidmatan kecemasan negara.

Lebih 200 pekerja penyelamat bertungkus-lumus mencari penduduk yang hilang sejak Ukraine menawan semula bandar di barat Kyiv selepas tentera Russia mula berundur dari wilayah itu hujung bulan lalu.

Setakat ini, 19 mayat ditemui di bangunan yang musnah, kata perkhidmatan kecemasan negara dalam satu kenyataan.

Penggali mekanikal membersihkan runtuhan konkrit di kaki bangunan pangsapuri.

Beberapa anggota penyelamat berdiri bersama anjing penghidu manakala yang lain mengintai di antara serpihan dengan lampu suluh mencari mangsa di bawah.

“Kami tidak tahu jumlah akhir mangsa di bawah serpihan.

“Kami hanya mendapat maklumat bahawa ketika serangan dari bangunan tertentu ini terdapat panggilan daripada mangsa yang berada di bawah runtuhan,” kata pegawai akhbar kementerian, Svetlana Vodolaga kepada Reuters.

Di bahagian lain di bandar itu, semalam sukarelawan membersihkan runtuhan dari taman permainan kanak-kanak.

Sebelum ini, Presiden Volodymyr Zelenskiy mendakwa, keadaan di bandar Borodyanka adalah ‘jauh lebih mengerikan’ berbanding di Bucha berdekatan, lokasi Ukraine mendakwa Russia melakukan jenayah perang.

Moscow bagaimanapun menafikan dakwaan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button