Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

MN hanya strategi politik UMNO?

‘Sikap UMNO sendiri menyebabkan PAS sukar membuat keputusan untuk bekerjasama’

BANGI, 10 Ramadan 1443H, Selasa – Usaha UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) merupakan sebahagian strategi politiknya.

Parti berteraskan Melayu itu cenderung untuk bersikap dominan dan selepas memenangi beberapa pilihan raya negeri (PRN) dengan selesa mereka kini berasa yakin untuk bergerak secara solo.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, sikap inilah yang menyukarkan PAS menjalinkan kerjasama dengan UMNO khususnya dalam membentuk perpaduan dalam kalangan ummah.

Selain itu, katanya lagi, UMNO sering merasakan dirinya sebagai parti utama yang tidak boleh direndahkan oleh mana-mana pihak lain.

“Kita lihat sekarang, sikap UMNO sendiri menyebabkan PAS sukar membuat keputusan untuk bekerjasama, kerana PAS mahukan perpaduan ummah tidak kira dengan parti-parti mana.

“Malah, PAS pernah kata dia boleh terima mana-mana parti pun tetapi UMNO pula meletakkan syarat hanya untuk dia sahaja, itu yang sukarkan PAS, nampaknya PAS dan UMNO jurang semakin jauh,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mazlan berkata, mengikut tradisi UMNO tidak boleh membuat keputusan membubarkan Parlimen secara bersendirian.

Katanya, kerajaan yang terbentuk kini adalah Perikatan Nasional (PN) dan sudah menjadi keperluan untuk berbincang bersama anggota komponen di dalamnya.

“Kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan yang didokong PN, walaupun hak untuk membubar Dewan Negara adalah kuasa di tangan Perdana Menteri tetapi dalam konteks politik kerajaan campuran mesti berunding dengan rakan-rakan yang lain.

“Sebelum Perdana Menteri bercadang menghadap Yang di-Pertuan Agong, beliau sepatutnya bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti yang bersama-sama berada dalam kerajaan, itu dari segi adatnya.

“Perdana Menteri perlu bincang memandangkan jawatan yang dipegang hari ini juga adalah hasil sokongan PN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button