Berita Utama

Pendeposit TH dinasihat tak mudah percaya dengan panggilan telefon palsu

Orang ramai dinasihat tidak dedahkan sebarang maklumat akaun, peribadi

BANGI, 10 Ramadan 1443H, Selasa – Semua pendeposit Tabung Haji (TH) dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan pihak yang tidak dikenali sekiranya menerima panggilan telefon berhubung transaksi pemindahan wang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamad Ameen Abdul Wahab menegaskan, lembaga itu tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.

Katanya, pengeluaran tunai hanya boleh dibuat di kaunter TH melalui pengesahan identiti, sementara perbankan internet dikawal dengan kata laluan dan TAC, manakala pengeluaran melalui ATM bank rakan strategik TH dikawal dengan PIN.

“TH mengambil maklum kenyataan Polis Diraja Malaysia berkaitan taktik baharu sindiket ‘Macau Scam’, membabitkan pengeluaran wang daripada akaun pendeposit TH yang dihubungkan dengan akaun bank konvensional.

“Pengeluaran tunai daripada akaun TH juga tidak boleh dilakukan melalui platform THiJARI. Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon.

“Arahan pindahan telegrafik di kaunter pula hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun milik sendiri sahaja. Oleh itu, wang di dalam TH sememangnya selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Ameen berkata, TH juga menyarankan pendeposit sentiasa memastikan nama dan kata laluan akses kepada platform perbankan internet rakan strategik TH tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak, bagi tujuan keselamatan.

Sebagai langkah keselamatan, beliau berkata, TH menyarankan pendeposit untuk sentiasa memastikan nama dan kata laluan akses kepada platform perbankan internet rakan strategik TH tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak.

Katanya, pendeposit juga boleh mengehadkan jumlah pindahan harian melalui perbankan internet bank rakan strategik TH serta membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.

“TH menasihati orang ramai untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat akaun mahupun peribadi dalam apa keadaan sekalipun kepada pihak yang tidak dikenali supaya tidak terpedaya dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab.

“TH komited untuk terus memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada para pendeposit di platform komunikasi rasmi TH.

“Untuk sebarang nasihat atau pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan THCC di talian 03-62071919,” katanya.

Sebelum ini, polis dilaporkan mengesan taktik baharu sindiket Macau Scam untuk mengeluarkan wang daripada akaun TH mangsa yang dihubungkan dengan akaun bank konvensional.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini pihaknya telah mengesan 65 kes seumpama itu membabitkan kerugian berjumlah RM3,599,275.46.

Pautan terdahulu

Macau Scam: 65 kes babit pengeluaran Tabung Haji, kerugian RM3.6 juta

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button