Berita Utama

Tumpahan asid sulfurik, 61 pelajar SMA Nurul Islam dimasukkan ke hospital

Bahan itu tertumpah ketika kerja pemindahan dilakukan

JITRA, 10 Ramadan 1443H, Selasa – Sebanyak 61 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Nurul Islam, Ayer Hitam dekat sini dimasukkan ke hospital selepas terhidu tumpahan asid sulfurik dalam kejadian pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi ketika tiga pekerja sebuah syarikat sedang melakukan kerja-kerja memunggah dan memindahkan tong berisi asid sulfurik yang telah tamat tempoh.

“Ketika kerja pemindahan tong berkenaan dilakukan, bahan kimia tersebut telah tertumpah dan berikutan itu telah berlaku pencemaran yang mana angin telah meniup udara tercemar masuk ke dalam kelas ketika pelajar sedang belajar.

“Sebanyak 61 murid berumur 14 hingga 17 tahun telah dibawa ke Hospital Jitra, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Klinik Ayer Hitam untuk mendapatkan rawatan. Mereka semua dalam pemerhatian dan mendapat rawatan pesakit luar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, tindakan pantas daripada pihak sekolah, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) telah berjaya mengawal keadaan.

Rodzi berkata kebanyakan pelajar mengalami gejala seperti loya dan sakit kepala, namun kesemua mereka yang terdiri daripada sembilan lelaki dan 52 perempuan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pengarah JBPM Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.20 tengah hari berhubung insiden tumpahan bahan kimia sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra bergegas ke tempat kejadian.

“Terdapat satu tong yang berisi asid sulfurik telah tertumpah semasa kerja-kerja pemindahan bahan kimia berkenaan sedang dilakukan oleh pihak kontraktor. Pihak kontraktor juga memaklumkan mereka telah mengasingkan bahan kimia berkenaan.

“Akibat tumpahan itu, kesemua pelajar yang mengalami gejala ringan telah dihantar ke hospital oleh pihak bomba dengan dibantu polis dan KKM,” katanya.

Beliau berkata anggota BBP Jitra telah melakukan kerja-kerja mencuci sisa tumpahan kimia selain turut melakukan kerja pengudaraan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.45 petang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button