Berita Utama

2,200 penguat kuasa KPDNHEP digerak pantau stesen minyak

Lesen pengusaha stesen minyak akan digantung hingga siasatan selesai

BANGI, 11 Ramadan 1443H, Rabu – Kira-kira 2,200 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digerakkan bagi memantau individu berkenderaan asing dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan minyak petrol bersubsidi, RON95.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi menambahkan keberkesanan, pegawai-pegawai tersebut akan mengadaptasi pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman iaitu tidak memakai pakaian seragam dalam operasi itu.

“Susulan pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April 2022, negara menerima kemasukan kenderaan-kenderaan yang banyak dari pelbagai negara.

“Terdapat juga laporan yang diterima daripada orang ramai dan media tentang kenderaan asing mengisi minyak Petrol RON95 khususnya di stesen minyak sempadan negara.

“Bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku, kementerian mempergiatkan penguatkuasaan untuk memastikan semua kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi minyak Petrol RON95 di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kenderaan-kenderaan tersebut dibenarkan untuk mengisi minyak RON97 di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

“Mana-mana individu atau pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta.

“Manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.

Sementara itu, beliau berkata, bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Malah, individu yang melanggar undang-undang akan berdepan tindakan tegas termasuk mendakwa di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut boleh menyalurkan aduan melalui saluran WhatsApp di 019-279 4317, portal aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my, call centre 1-800-886-800, emel di [email protected] atau Ez ADU KPDNHEP.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button