Berita Utama

Daftar masuk ke MySejahtera catat penurunan ketara

Negeri Pantai Timur rekod penurunan tertinggi berdasarkan purata 7 hari

KUALA LUMPUR, 11 Ramadan 1443H, Rabu – Pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera dilihat mencatatkan pola penurunan sejak awal tahun ini, apabila merekodkan sekitar 15 juta hingga 18 juta sejak beberapa hari lalu berbanding 29 juta hingga 33 juta hujung tahun lalu, menurut data di portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM).

Sejak 25 Mac lalu, jumlah daftar masuk MySejahtera di seluruh negara mencatat angka paling rendah pada 7 April lalu dengan 16,020,112, iaitu terendah dalam tempoh lebih 37 minggu sejak 25 Julai tahun lalu.

Jumlah individu yang menggunakan fungsi daftar masuk dalam aplikasi itu terus mencatatkan pengurangan ketara apabila menurun lebih 30 peratus, atau sekitar 8.6 juta pengguna, lapor akhbar tempatan.

Penurunan penggunaan MySejahtera itu direkodkan di semua negeri dan wilayah, dengan kadar penurunan antara 26 hingga 49 peratus.

Jumlah daftar masuk yang dikira berdasarkan purata tujuh hari menunjukkan tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang mencatatkan penurunan tertinggi, selain Putrajaya, Sabah serta Kedah.

Selain itu, 11 negeri mencatatkan penurunan penggunaan daftar masuk MySejahtera melebihi 30 peratus, iaitu purata penurunan di seluruh negara.

Kelantan mencatat penurunan tertinggi 49 peratus, daripada 353,309 pada 25 Mac kepada 180,035 pada 11 April lalu.

Ia disusuli Terengganu yang mencatat penurunan 47 peratus, serta Putrajaya (40.8 peratus), Pahang (39.3 peratus), Sabah (36.9 peratus) dan Kedah (36.7 peratus).

Labuan turut mencatat kadar penurunan yang tinggi dengan 34.7 peratus, disusuli Negeri Sembilan (34.6 peratus), Perlis (34.3 peratus), Perak (33 peratus) dan Melaka (30.9 peratus).

Lima lagi negeri dan wilayah mencatat penurunan di bawah 30 peratus, iaitu Selangor (29.6 peratus), Kuala Lumpur (29 peratus), Sarawak (27.4 peratus), Johor (26.6 peratus) dan Pulau Pinang (25.9 peratus).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button