Berita Utama

Kementerian Luar tak patut ambil tindakan tergesa-gesa panggil pulang 2 diplomat

Menteri Luar perlu bertanggungjawab lakukan persediaan teliti sebelum lawatan rasmi

KOTA KINABALU, 11 Ramadan 1443H, Rabu – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan tindakan memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai baru-baru ini akan menimbulkan imej tidak baik terhadap Menteri Luar dan Malaysia secara keseluruhannya.

Beliau berkata, tidak sepatutnya Kementerian Luar mengambil tindakan tergesa-gesa terhadap kedua-dua diplomat itu.

Sebaliknya, beliau berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh dan menangani situasi membabitkan dua pegawai terbabit dengan lebih baik.

“Saya ada keraguan sendiri mengenai diplomat kanan dan berpengalaman seperti itu mengabaikan perkara penting, khususnya apabila ia membabitkan Perdana Menteri.

“Jika saya secara peribadi, akan menangani situasi itu dengan cara yang lain dan menggesa supaya siasatan dalaman dilakukan terlebih dahulu,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.

Beliau berkata, semua pegawai di Wisma Putra adalah berpengalaman, dan mereka yang dipilih sebagai Ketua Misi selalunya merupakan diplomat tertinggi serta memiliki pengalaman bertahun-tahun.

“Insiden seperti ini jarang berlaku dan jika berlaku sekalipun, ia dapat dihalang jika Menteri Luar berada di UAE terlebih dahulu untuk secara peribadi meninjau persiapan lawatan Perdana Menteri.

“Ia adalah sebahagian daripada tugas seorang Menteri Luar dan jika beliau gagal berada di sana, beliau tidak sepatutnya setuju atau mengarahkan dua diplomat itu dipanggil pulang,” katanya.

Beliau berkata, lazimnya sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara, persediaan teliti membabitkan Menteri Luar perlu dilakukan terlebih dahulu.

Anifah memaklumkan ketika beliau menjadi Menteri Luar, sebelum sesuatu lawatan rasmi, Menteri Luar akan mendahului Perdana Menteri dan berada di lokasi lebih awal bagi memastikan persediaan sewajarnya dilakukan.

“Sebagai Menteri Luar (ketika itu), saya akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap sebarang kekurangan yang berlaku ketika lawatan Perdana Menteri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button