Berita Utama

Kerajaan digesa segera laksana sistem pendidikan satu aliran, mantapkan penggunaan bahasa Melayu

‘Di kalangan ahli politik bukan Melayu pun penguasaan bahasa Melayu sangatlah lemah’

BANGI, 11 Ramadan 1443H, Rabu – Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM) mengecam keras sesetengah pihak yang memandang enteng usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, bahasa Melayu sebenarnya telah digunakan sebagai lingua franca oleh tidak kurang 400 juta warga di rantau ASEAN sejak zaman berzaman.

Seperti juga bahasa-bahasa lain, beliau berkata, tentunya ada sedikit variasi antara bahasa Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan sebagainya.

Malah, di Malaysia sendiri pun ada variasi antara Bahasa Melayu Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

“Namun hakikatnya, ia adalah Bahasa Melayu. Perkara asas ini harus difahami oleh semua, khususnya pemimpin-pemimpin ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, memartabatkan bahasa Melayu juga selari dengan salah satu bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi pengantarabangsaan Bahasa Melayu di persada dunia.

Bagi merealisasikan usaha murni ini, QIAM menggesa kerajaan memberi kuasa undang-undang dan memperkasakan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam melaksanakan audit Bahasa Melayu dalam segenap peringkat pentadbiran negara.

Sirajuddin berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan agar bersegera melaksanakan sistem pembelajaran satu aliran bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu untuk perpaduan kaum, semangat patriotik dan jati diri nasional.

“Masanya sudah tiba untuk kerajaan menyerap sekolah vernakular ke dalam Sistem Pendidikan Nasional. Pada masa sama, usaha memperkasakan sekolah kebangsaan rendah dan menengah hendaklah diperhebatkan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memantapkan sistem pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di semua sekolah, IPTS dan IPTA.

“Kita bimbang walaupun selepas lebih 60 tahun negara merdeka, masih ramai murid dan graduan yang tidak mampu untuk menguasai bahasa Melayu dengan betul dan berkesan. Bahkan isu ini turut merentas sempadan sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Di kalangan ahli politik bukan Melayu pun penguasaan Bahasa Melayu sangatlah lemah. Jadi bagaimanakah mereka ini boleh diharapkan mengangkat dan memperjuangkan masalah rakyat secara berkesan? Natijahnya mereka sekadar menjadi juara bangsa mereka sendiri sahaja.

“Marilah kita semua bersatu hati dan tenaga untuk memperhebatkan agenda memartabatkan Bahasa Melayu sebagai lingua franca ASEAN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button