Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Majikan perlu bayar RM1,500 jika mahu khidmat ‘amah’ Indonesia

Indonesia boleh tentukan pemulaan gaji pembantu rumah melalui PDI

BANGI, 11 Ramadan 1443H, Rabu – Majikan yang berhasrat untuk mengambil khidmat pembantu rumah dari Indonesia perlu membayar gaji RM1,500 seperti dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI).

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, Indonesia berhak menentukan permulaan gaji memandangkan Filipina juga turut menetapkan gaji PDI.

“Majikan yang bersetuju dengan kadar terbabit dialu-alukan untuk mengambil PDI jika sebaliknya, Indonesia berpandangan ia bukan satu masalah.

“Indonesia sebagai negara pengirim boleh saja menentukan permulaan gaji berikutan Filipina pun menetapkan gaji PDI antara RM1,500 hingga RM1,600.

“Kalau majikan bersetuju silalah ambil PDI. Kalau tak bersetuju, buat Indonesia tidak ada masalah,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Hermono bagaimanapun menetapkan syarat kepada majikan supaya mematuhi kontrak pengambilan pekerja dengan membayar gaji tidak kurang daripada RM1,500.

“Majikan yang mahu ambil PDI harus mematuhi kontrak pengambilan pekerja dan di situ (MoU) jelas ada dinyatakan tidak kurang RM1,500 dan dimasukkan terus ke akaun bank pekerja,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, bayaran gaji kepada amah atau pembantu rumah Indonesia, bermula pada kadar RM1,200 sebulan berdasarkan pelaksanaan gaji minimum semasa.

Saravanan berkata, kerajaan tidak boleh melaksanakan permintaan Indonesia yang mahu pekhidmat domestik dari negara itu dibayar pada RM1,500 kecuali atas budi bicara majikan.

Susulan kenyataan Saravanan tersebut, Hermono menegaskan, beliau telah berkomunikasi dengan menteri terbabit membincangkan kekeliruan yang timbul.

“Buat masa sekarang PDI tidak perlu bimbang soal gaji kerana adanya mekanisme pemantauan setiap tiga bulan untuk memantau pelaksanaan MoU,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button