Berita Utama

Pindaan Perlembagaan tangani isu lompat parti wajar diperhalusi

Kerajaan faham kekecewaan rakyat dengan suasana ‘lompat’, ketidaktentuan

PUTRAJAYA, 11 Ramadan 1443H, Rabu – Keperluan pindaan Perlembagaan atau apa sahaja remedi perundangan bersesuaian dalam menangani isu lompat parti wajar diperhalusi dalam masa terdekat, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerajaan memahami kekecewaan majoriti rakyat dengan suasana politik ‘berlompat-lompatan’ dan penuh ketidaktentuan.

“Kekuatan dan keutuhan siasah negara mesti dikembalikan kepada keadaan yang lebih sasa dan stabil. Hak dan keputusan rakyat mesti dihargai dan dihormati,” katanya dalam catatan di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Isnin lepas Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diadakan bagi membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang antara lain berkaitan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen.

Dewan Rakyat pada hari sama telah meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button