Berita Utama

Bersatu terbuka adakan perbincangan dengan parti politik lain

Bincang strategi pilihan raya, elak bertembung satu sama lain

PUTRAJAYA, 12 Ramadan 1443H, Khamis – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perbincangan masih berjalan dengan pihak yang sependapat dengan parti itu bagi mencapai kemenangan dalam PRU15.

“Saya fikir mungkin bulan puasa ini perlahan sikit (perjumpaan) tapi selepas raya apabila situasi mengizinkan dan ada kecenderungan dan minat pihak dari parti-parti mana sekalipun untuk bertemu dan berbincang cara bagaimana hendak hadapi strategi pilihan raya secara bersama-sama dan mengelakkan pertembungan antara satu sama lain, kita akan usahakan.

“Ini bukan sahaja bergantung pada pihak saya tetapi lebih baik dari pihak-pihak lain yang sependapat bahawa langkah sebegitu adalah wajar untuk kita menentukan kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara, di sini hari ini.

Pada 2 April, Muhyiddin dalam hantaran di Facebooknya berkata selepas Pilihan Raya Negeri Johor, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan pandangan bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button