Berita Utama

Aidilfitri: KTMB tambah perkhidmatan ETS, perkenal tren khas

Jualan tiket akan mula dijual esok melalui KITS, laman sesawang

KUALA LUMPUR, 12 Ramadan 1443H, Khamis – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tambahan dan memperkenalkan perkhidmatan tren khas yang dikenali Ekspres Khas Keluarga Malaysia, bersempena sambutan Aidilfitri bermula 29 April ini.

KTMB dalam kenyataan di sini, hari ini memaklumkan tambahan perkhidmatan ETS dengan tiket sebanyak 4,368 serta tren khas itu yang menawarkan 516 tiket adalah berikutan permintaan tinggi daripada penumpang.

Bagi ETS, tambahan adalah melibatkan perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya pada 29 April hingga 2 Mei dan 6 hingga 8 Mei manakala bagi tren khas bagi laluan pantai timur melibatkan perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Tumpat, Kelantan.

“Tren khas ini akan berlepas pada pukul 11 malam 29 April dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat dan perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 7 Mei pada pukul 10.50 malam,” menurut kenyataan itu.

KTMB turut memaklumkan bahawa jualan tiket ETS tambahan dan tren khas berkenaan akan mula dijual esok (15 April) dan pengguna disaran melakukan pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.

Sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button