Berita Utama

Aidilfitri: Penjawat awam Pulau Pinang terima setengah bulan gaji

Pembayaran akan dibuat pada 27 April ini

GEORGE TOWN, 12 Ramadan 1443H, Khamis – Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,200 kepada anggota perkhidmatan awam negeri itu, sempena Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata pemberian bantuan khas itu diluluskan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri semalam dan pembayaran akan dibuat pada 27 April ini sebagai persediaan untuk menyambut Syawal, awal Mei nanti.

“Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bayaran BBK sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,200 kepada 7,114 anggota perkhidmatan awam negeri itu.

“BKK itu juga dipanjangkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, BKK sebanyak RM300 masing-masing turut disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dan guru serta kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang. 

Chow berkata, BKK sebanyak RM200 turut diberikan kepada guru tahfiz, guru pondok serta guru tadika Islam (TADIS).

Katanya, pemberian bantuan itu membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM7.35 juta kepada kerajaan negeri.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button