Dunia

1,000 muflis di Jepun, industri restoran terjejas teruk

Peniaga merungut kerajaan gagal ambil langkah pencegahan

TOKYO, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Industri restoran di Jepun antara paling teruk terjejas akibat wabak COVID-19 menyaksikan kira-kira 1,000 restoran alami kerugian, lapor Jiji Press.

Menurut data dikeluarkan firma penyelidikan, Tokyo Shoko Research Ltd. sebuah penginapan di wilayah Aichi yang menangguhkan operasinya sejak Februari tahun lalu, menjadi perniagaan pertama yang gulung tikar.

Pada Jun 104 kes muflis dilaporkan, kemudian pada bulan Julai dan Ogos terdapat penurunan sebelum ia kekal melebihi 100 sejak September.

Kemerosotan industri restoran menyebabkan 46 pemborong makanan dan minuman selain 31 pembuat makanan turut muflis. Sebanyak 62 buah hotel turut mengalami kegagalan.

Sementara itu, data Kementerian Buruh menunjukkan jumlah pekerja industri restoran yang dipecat atau kontraknya tidak diperbaharui melebihi 10,000, di kedudukan kedua selepas industri pembuatan.

Kerajaan berusaha memastikan perniagaan kekal dapat bertahan dan pekerja tidak diberhentikan melalui pelbagai inisiatif seperti pinjaman tanpa faedah dan cagaran serta subsidi penyesuaian pekerjaan.

“Tetapi mungkin terdapat peningkatan kegagalan dalam kalangan perniagaan kecil terutama yang kehabisan sumber untuk meneruskan perniagaan tanpa ada tanda-tanda pemulihan,” kata seorang pegawai di Tokyo Shoko Research.

Banyak perniagaan merungut kerana kerajaan pusat dan negeri dikatakan gagal mengambil langkah pencegahan COVID-19 yang benar-benar berkesan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button