Filipina: Angka kematian ribut tropika Megi meningkat kepada 123
Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan

MANILA, 12 Ramadan 1443H, Khamis – Tentera Filipina berikrar untuk meneruskan usaha mencari dan menyelamat selepas ribut tropika Megi melanda kawasan tengah negara ini sejak Ahad lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 123 orang.
Megi merupakan taufan pertama tahun ini yang melanda Filipina, sebuah kepulauan memiliki lebih 7,600 pulau yang berdepan purata 20 ribut tropika setahun.
Kira-kira 86 daripada mangsa yang terkorban adalah di Baybay – kawasan pergunungan yang terdedah kepada tanah runtuh di wilayah Leyte – lokasi di mana 236 orang turut cedera, kata kerajaan negeri dalam satu laporan.
Menurut agensi bencana negara, tiga lagi lemas di wilayah berbeza, manakala enam orang masih hilang.
“Operasi mencari, menyelamat dan mendapatkan semula akan diteruskan,” kata Unit Infantri Tentera Filipina di Baybay menerusi akaun Facebook.
Gambar dan video daripada kerajaan tempatan menunjukkan cerun runtuh menimbus ladang kelapa serta rumah dalam tanah dan lumpur.
Di satu kawasan, penyelamat terpaksa menggunakan bot getah untuk ke kawasan tanah runtuh.
Data kerajaan menunjukkan, lebih 162,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal berlindung di pusat pemindahan, manakala 41,000 lagi tinggal bersama saudara-mara.
Pada Disember, taufan Rai kategori 5 melanda Filipina tengah, dengan angka kematian mencecah 405 dan hampir 1,400 cedera.
Taufan Haiyan, salah satu taufan tropika paling kuat pernah direkodkan, membunuh 6,300 penduduk pada 2013. – Agensi