Artikel Khas

Isu Naqsyabandiah: Sedikit pandangan dan cadangan

Satukan semula badan Islam berautoriti yang terpecah ikut negeri

ISU ini menimbulkan kegelisahan ramai pihak terutamanya apabila kedudukan satu kumpulan tariqat dipersilihkan oleh beberapa badan yang mempunyai autoriti di dalam menentukan sesat atau tidaknya kumpulan itu. Ia juga menerima perselisihan yang dahsyat juga dari tokoh-tokoh ilmuwan Islam di negara ini.

2. Isu amalan-amalan tariqat adalah antara isu yang sukar untuk disepakati. Bahkan lebih sukar dari mencari kesepakatan di dalam isu-isu furu’ di dalam amalan fiqh. Amalan-amalan tariqat biasanya akan bercampur di antara sempadan fiqh dan tauhid. Membincangkannya memerlukan ilmu yang agak mendalam dan disiplin yang tinggi dalam berpegang kepada nas.

3. Kita akan membincangkan hukum ‘tabaruk’ (mengambil berkat) dari Syeikh yang boleh jadi hanya di dalam daerah ‘ihtiram’ (menghormati) Syeikh atau boleh terlajak hingga ke ‘taqdis’ (mendewakan) Syeikh. Kita akan membincangkan berkenaan hukum tawasul (meminta dari Allah dengan keberkatan amal atau manusia) yang adakalanya boleh terlajak ke ‘istighathah’ (memohon dari makhluk yang telah mati). Kita akan membincangkan berkenaan ‘firasat’ (telahan) Syeikh yang boleh jadi adalah anugerah Allah kepadanya, tetapi boleh terlajak hingga menjadi sumber pemutus dalam menghukum dan mengadili. Kita juga akan membincangkan berkenaan budaya ‘murid’ tariqat yang menyerahkan diri kepada Syeikh untuk khidmat dan menerima bimbingan, tetapi boleh terlajak hingga kepada ta’asub yang dicegah oleh syarak. Kita akan membincangkan juga tentang tanda-tanda kekuasaan Allah yang ditonjolkan pada makhluknya, tetapi boleh terlajak kepada ‘wehdatul wujud’. Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh disenaraikan.

4. Ia bukan topik untuk diperbincangkan oleh masyarakat awam yang kosong dari asas-asas di dalam ilmu syariat. Tetapi orang awam amat perlu kepada panduan yang terhasil dari kesepakatan badan berautoriti. Bila badan-badan berautoriti berselisih, kita boleh lihat kesannya sebagaimana yang berlaku sekarang.

5. Jika ditanya kepada saya apakah cadangan saya, saya mencadangkan beberapa langkah berikut:

a. Satukan semula badan-badan Islam berautoriti daripada keadaannya yang terpecah-pecah mengikut negeri sekarang. Formatnya boleh difikirkan dalam banyak bentuk. Atas pimpinan negara sahaja, mahu atau tidak. Nampaknya macam tak mahu sebab sudah lebih 60 tahun negara merdeka keadaannya masih sama. Saya sampai terfikir dan bersangka-sangka yang keadaan terpecah-pecah ini adalah satu kesengajaan untuk melemahkan keadaan umat Islam dan kedudukan Islam di negara ini. Moga sangkaan jahat saya ini meleset harapnya.

b. Kuatkan pendidikan Islam di dalam masyarakat Islam agar berpegang dan iltizam dengan nas-nas syarak dari al-Quran dan Hadis. Di masa yang sama, sebarkan penyebaran bahan tulisan ulamak Islam yang muktabar. Hentikan penyebaran bahan atau tulisan tanpa sumber. Didik masyarakat agar menilai sesuatu dengan neraca ilmu. Bina keterbukaan agar meletakkan perkara khilaf pada tempatnya dan usul agama pada tempatnya.

c. Didik masyarakat agar faham beza antara perlanggaran syariat yang membawa pelakunya menjadi fasiq dan amalan yang membawa kepada kekufuran. Amat besar bezanya di sisi Islam di antara fasiq dan kafir. Hukum sesat sesuatu kumpulan tariqat mesti diukur berdasarkan neraca yang betul dengan menilai satu persatu amalan dan tradisinya secara menyeluruh.

d. Sebahagian dari amalan-amalan khusus individu sebagai tambahan iltizam atas dirinya, biarkan di peringkat individu sahaja tanpa perlu disebarluaskan menjadi amalan negara. Sebahagian amalan tariqat seperti zikir tertentu dan tradisi tertentu adalah iltizam tambahan atas individu dalam kumpulan itu. Sepatutnya siapa nak amalkan, silakanlah selagi masih tidak bercanggah dengan syarak. Tetapi jangan wajibkan kepada semua orang. Bila ada cubaan ‘menegarakan’ amalan atau tradisi khusus, ia akan mengundang ketidakselesaan dari ramai pihak dan konflik akan timbul.

e. Semua pihak perlu berpada-pada dan bersederhana pada semua perkara. Sama ada anggota masyarakat atau pihak yang berautoriti sendiri; semua perlu mengambil sikap bersederhana yang sama. Suka jangan sampai ta’asub. Tak suka jangan sampai membenci dan bermusuh. Kita menguruskan khilaf dan perbezaan, bukan menguruskan perang menjatuhkan musuh.

6. Kepada pihak berautoriti, saya berdoa moga Allah memberikan kepada kalian kebijaksanaan dan sikap adil dalam mengadili. Moga kalian berjaya mengangkat diri kalian daripada hakim yang memutuskan kepada pembimbing yang menunjuk jalan kepada umat. Juga daripada menjadi penegak kepada satu kumpulan kepada penyatu kepada masyarakat Islam. Kita semua akan dihisab oleh Allah atas keputusan yang kita buat hari ini.

إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت وما توفيقي إلا بالله عليه توكلت وإليه أنيب
Wallahul Musta’an.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button