Berita Utama

JPK wajar teliti perkara dorong tindakan lompat parti

Perlu diperluaskan bagi menyentuh beberapa perkara

BANGI, 12 Ramadan 1443H, Khamis – Pindaan berkait dengan aktiviti lompat parti akan diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) selain membincangkan perkara yang mendorong kepada tindakan Ahli Parlimen untuk melompat parti.

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional dalam kenyataan memaklumkan, perbincangan JPK perlu diperluaskan bagi menyentuh beberapa perkara dikaitkan dengan isu lompat parti.

Antaranya seperti pindaan Akta Pertubuhan 1966, pengkanunan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) dan lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Beberapa isu lain yang turut bersangkut paut dengan isu lompat parti termasuklah pendanaan politik, kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pemisahan fungsi Peguam Negara dan pendakwa raya.

“Rakyat Malaysia secara umum mahu semua isu berkenaan dipertimbangkan untuk dicari jalan penyelesaian.

“Jika ruang lingkup perbincangan terlalu sempit, ia hanya akan menghampakan orang ramai dan menjejaskan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan dalam isu undang-undang anti lompat parti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional adalah jaringan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan pemikir dan individu yang mengambil inisiatif ke arah mewujudkan Parlimen yang profesional menerusi persaingan pembentukan dasar yang baik antara parti politik.

Kenyataan komuniti itu turut ditandatangani tujuh anggotanya iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Engage Network, Bait Al-Amanah, Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Persatuan Pengundi Muda (Undi18) dan Yayasan WISDOM.

Dalam masa sama, Komuniti Perintis mahu JPK memutuskan sama ada tempoh perjalanan jawatankuasa itu wajar dilanjutkan atau jawatankuasa baharu ditubuhkan bagi meneliti selain mengemukakan syor berhubung perkara lain yang menyumbang kepada aktiviti lompat parti.

“Jika perlu, JPK ini atau jawatankuasa yang baharu harus berfungsi hingga akhir penggal Parlimen kali ini, seperti semangat yang digambarkan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang,” katanya.

Pada masa sama, komuniti itu menyarankan JPK supaya melantik beberapa pakar berkaitan isu yang diteliti.

Selain menjemput semua pemegang taruh untuk memberi cadangan secara bertulis sebelum ia dipilih untuk dibentangkan dan sesi libat urus itu dimuat naik dalam portal Parlimen.

Isnin lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) (No.3) 2022 diputuskan untuk dikaji dan diteliti semula melalui sebuah JPK.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button