Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Pendapat

Kerajaan vs ibu bapa

Jadilah ibu bapa, rakyat yang berfikir dan bertindak!

JADI kerajaan ni lebih kurang macam jadi ibu bapa juga.

Kita tahu anak-anak ada keinginan dan kemahuan mereka sendiri untuk seronok seperti makan gula-gula, memiliki permainan, menonton televisyen dan menconteng dinding rumah.

Ibu bapa akan memberikan apa yang anak-anak suka bagi memuaskan hati mereka tapi dalam kuantiti yang berpatutan, selagi tidak merosakkan anak-anak, harta benda dan orang lain.

Contohnya, kita akan membelikan mereka gula-gula seminggu sekali, menghadiahkan mereka permainan yang kita mampu (walaupun mereka mahu yang lebih mahal) serta membenarkan mereka menonton rancangan televisyen yang sesuai selama sejam sehari.

Kita akan melarang keras mereka menconteng dinding rumah dan apa sahaja perbuatan lain yang merosakkan. Adakah kerana kita zalim? Tidak. Kita larang dan denda kerana sayang demi kebaikan diri dan masa depan mereka.

Begitulah juga dengan kerajaan yang terpaksa berhadapan dengan jutaan kemahuan dan harapan rakyat. Kerajaan yang berwibawa akan memberikan sebahagian permintaan mengikut kadar kemampuan kewangan dan juga pertimbangan untung-rugi secara holistik mengikut kepentingan negara (bukan ikut individu secara mikro).

Kerajaan yang bijak juga akan menguatkuasakan undang-undang yang dapat mengelakkan kerosakan harta benda dan individu walaupun bertentangan dengan kemahuan sebahagian rakyat

Ada juga perkara yang anak-anak tidak suka tapi perlu diberikan oleh ibu bapa yang bertanggungjawab seperti pergi ke sekolah (tiada kanak-kanak yang suka bersekolah pada mulanya), membantu kerja rumah, mendirikan ibadah wajib, memeriksa dan mencabut gigi serta pelbagai keperluan kesihatan yang lain.

Sebenarnya mereka tidak tahu apa yang mereka perlu. Mereka cuma tahu apa yang mereka mahu!

Rakyat (majoriti) tidak tahu apa yang mereka perlu. Mereka cuma tahu apa yang mereka mahu!

Rakyat (mungkin) tidak tahu yang mereka perlukan kedaulatan dan keselamatan dari anasir luar sama ada berbentuk psikologi (soft) ataupun serangan ketenteraan (hard).

Tapi menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membangunkan strategi, membina jaringan, menguatkuasakan undang-undang dan menyediakan kelengkapan bagi mempertahankan negara dari serangan luar.

Analogi ini sudah tentulah tidak sepenuhnya tepat, contohnya kerajaan mengutip cukai dari rakyat tapi ibu bapa menguasai sepenuhnya sumber dan pengagihan kewangan keluarga.

Tapi analogi ini boleh digunakan untuk menganalisa dan menilai pendirian serta pendekatan kerajaan dalam sesuai isu semasa contohnya SOP mengekang penyebaran COVID-19, kenaikan harga barang, pembenaran pengeluaran wang KWSP, pemberian pelbagai skim bantuan rakyat, undang-undang berkaitan arak, rokok dan dadah, undang-undang berkaitan lompat parti dan pendanaan politik dan banyak lagi.

Jadilah ibu bapa dan rakyat yang berfikir dan bertindak!

Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim 
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button