Berita Utama

KPKT, MOF lancar i-Biaya untuk mudahkan pembiayaan perumahan

Dijangka beri manfaat kepada 25,000 pemohon dalam kalangan B40 dan M40

PETALING JAYA, 12 Ramadan 1443H, Khamis – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Kewangan (MOF) melancarkan inisiatif i-Biaya pada Khamis, dalam usaha kerajaan untuk memudahkan pembiayaan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah M40 dan B40.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, selari dengan matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah, inisiatif i-Biaya merupakan satu langkah integrasi untuk menyatukan semua inisiatif di bawah satu bumbung.

“KPKT melaksanakan inisiatif ini berpaksikan ketersediaan rumah mampu milik di lokasi-lokasi strategik, kemampuan pembeli di mana KPKT menerima nasihat daripada pelbagai pemegang taruh termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) serta (meneliti) kemudahan pembiayaan untuk B40 dan M40,” katanya pada majlis pelancaran i-Biaya.

Tiga inisiatif yang ditawarkan di bawah i-Biaya ialah penambahbaikan kepada skim sedia ada iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan yang ditawarkan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Bhd dengan peruntukan RM3 bilion; Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas SRP Bhd (Cagamas) dan Skim PR1MA ‘Rent-to-Own’ oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA RTO).

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ,MOF komited untuk terus menyokong dengan membuka akses kepada pembiayaan terutama bagi golongan B40 dan M40 yang menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan dalam usaha mereka memiliki rumah sendiri.

“Bagi SRP, ia dijangka memberi manfaat kepada 25,000 pemohon dalam kalangan B40 dan M40, dengan anggaran nilai pembiayaan sebanyak RM5.9 bilion.

“Antara faktor penyumbang kepada sasaran ini ialah komitmen kerajaan melalui insiatif Jamin Kerja yang menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan, dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata, menerusi fokus kepada peluang pekerjaan serta peningkatan kemahiran dalam kalangan B40 dan M40 termasuk golongan belia, peningkatan pendapatan yang diperolehi akan membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai skim pemilikan kediaman melalui i-Biaya.

Skim pembiayaan SRP akan membuka peluang pembiayaan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM10,000 ke bawah untuk kediaman bernilai sehingga RM500,000.

Selain itu, peluasan jaminan Skim Jaminan Kredit Perumahan juga akan membolehkan mereka yang tidak mempunyai penyata gaji atau dokumen sewajarnya terutama mereka yang terlibat dalam ekonomi gig, memohon pembiayaan perumahan.

Selain itu, skim PR1MA RTO pula akan membolehkan mereka yang berminat untuk menyewa dan kemudiannya membeli mengikut harga yang telah ditetapkan pada tahun keenam, melalui pembiayaan oleh Maybank. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button