Berita Utama

Tun M jangka Bersatu takkan menang PRU15 kerana tiada sokongan PAS, UMNO

1.7 juta pegawai kerajaan, keluarga tentu sokong kerajaan

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) digesa dilakukan awal kerana Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi hanya boleh dikemukakan tetapi tidak dapat dibahas oleh parti lawan.

Oleh kerana itu, dakwanya, banyak ‘gula-gula’ akan diberikan supaya rakyat akan menyokong Barisan Nasional (BN)-UMNO.

Situasi itu juga membuatkan parti tersebut mengambil enteng kepentingan rakyat dalam mendepani keadaan genting termasuk bencana banjir yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

“Jangan peduli bulan November banjir besar, angin kencang. Ramai tak boleh undi. Ramai kehilangan rumah. Ramai ditempatkan di tempat tertentu. Ramai yang akan cedera dan mati. 

“Okaylah itu masalah mereka. Kerajaan akan tentukan penyokong UMNO boleh undi. Bantuan wang dan makanan boleh diberi,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, dakwa Dr Mahathir lagi, keyakinan mereka juga didorong oleh sokongan jumlah kakitangan kerajaan yang meningkat hingga mencecah 1.7 juta orang.

 

“Dahulu jumlah pekerja kerajaan tak sampai sejuta. Dalam jangka masa beberapa tahun sahaja pekerja kerajaan meningkat 1,700,000. Gaji pun naik berkali-kali. Akan naik lagi dalam belanjawan baru.

“1,700,000 pegawai kerajaan dan keluarga tentu sokong kerajaan. Jangan peduli tidak ada duit tinggal untuk pembangunan negara.

“Jangan peduli harga barang naik. Jangan peduli ramai hadapi tekanan kewangan. Mereka boleh hutang. Tidak dapat bayar hutang mereka akan bankrap. Itu masalah mereka.

“Duit kerajaan diguna untuk sogokan, tak usah bayar, tak bayar faedah pun. Jumlah hutang meningkat kerana tidak bayar. Itu masalah kerajaan yang akan datang,” dakwanya.

Mengulas lanjut, Pengerusi Penaja Gabungan Tanah Air (GTA) itu mendakwa kemenangan UMNO boleh ditentukan.

“Menang PRU15, akan menang PRU16 dan 17 dengan mengguna kuasa dan duit kerajaan.

“Sekarang UMNO yang ditolak oleh rakyat yang berkuasa. Najib mengguna ketamakan pemimpin Bersatu dan PKR untuk mengalahkan PH yang menang.

“Bersatu yang dihijack gembira kerana jadi Perdana Menteri (PM). Lepas itu PM Bersatu dijatuhkan oleh UMNO dan UMNO menjadi kerajaan.

“Parti yang ditolak oleh rakyat jadi kerajaan. Sebagai kerajaan, UMNO akan tentukan bila PRU15 akan diadakan. Mana dia Bersatu. Tidak berkuasa lagikah?,” soalnya.

Bahkan, dalam PRU15 pun, Dr Mahthir menjangka Bersatu tidak akan menang kerana tidak mendapat sokongan UMNO dan PAS.

“Inilah nasib parti yang tikam belakang kawan untuk masuk melalui pintu belakang.

“Sesungguhnya Langkah Sheraton memulakan ketidakstabilan politik dalam negara. Sebelum Langkah Sheraton semua kerajaan dipilih melalui PRU.

“Mahiaddin dan Azmin yang melangkah dan menjadi boneka dalam perancangan Najib. Sembilan hakim, tiga mahkamah mendapati Najib bersalah. Fikirlah wahai rakyat Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button