Berita Utama

Selangor didahulukan bagi naik taraf rangkaian 5G

7,197 sistem pemancar dinaik taraf kepada 4G, 652 dalam pelaksanaan

SHAH ALAM, 12 Ramadan 1443H, Khamis – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mendahulukan negeri Selangor dalam usaha pelaksanaan dan naik taraf rangkaian perkhidmatan 5G, kata Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

“Di bawah Program Jalinan Digital Negara (JENDELA), ada tiga program sedang berjalan iaitu yang pertama adalah menambah menara telekomunikasi baharu untuk 4G, manakala untuk penaiktarafan menara telekomunikasi kepada 5G, negeri Selangor akan didahulukan,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi program di bawah JENDELA termasuklah meningkatkan jumlah rumah yang mempunyai sambungan gentian optik, dan menaik taraf sistem pemancar daripada 3G kepada 4G.

Katanya, di bawah program JENDELA, Selangor menerima peruntukan yang tinggi iaitu sebanyak RM5.34 bilion, untuk menaik taraf sistem telekomunikasi di negeri itu.

Beliau berkata, melalui peruntukan tersebut, sebanyak 313 menara telekomunikasi baru telah siap dibina setakat ini di negeri itu, manakala 35 menara lagi sedang dalam proses pembinaan.

“Selain itu, sejumlah 7,197 sistem pemancar telah dinaik taraf kepada 4G, dan sebanyak 652 sedang dalam pelaksanaan.

“Sebanyak 419,896 premis kini telah mempunyai sambungan gentian optik manakala pemasangan sebanyak 196,422 premis lagi, sedang dilaksanakan,” katanya pada majlis moreh bersama wakil agensi dan jabatan di bawah K-KOMM serta rakan strategik di Selangor, di sini malam tadi.

Manakala bagi inisiatif Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), beliau berkata mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor yang masih belum dilengkapi PEDi, diminta untuk memohon kepada kementerian untuk kelulusan segera.

Setakat ini terdapat 48 PEDi telah diwujudkan dan mula beroperasi di Selangor.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button