Berita Utama

RUU Anti Lompat Parti: Pindaan Perlembagaan sedia ada lebih praktikal

Malaysia belum bersedia ke arah wujudkan 'Recall Election'

BANGI, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Pindaan Perlembagaan sedia ada bagi Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dilihat lebih praktikal berbanding mewujudkan sebuah akta perundangan baharu.

Pandangan berkenaan disuarakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang melihat lebih 40 negara yang terlibat mempunyai undang-undang seperti ini.

Malah, tidak ada akta yang digubal, melainkan membuat pindaan dalam Perlembagaan sedia ada sahaja.

“Tidak ada negara di dunia ini yang mempunyai akta berasingan untuk menangani lompat parti.

“Undang-undang anti lompat parti ini perlu diberi tumpuan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang tanpa melibatkan pembuatan akta baharu.

“Saya menyokong penuh pada cadangan asal iaitu pindaan-pindaan seperti pada artikel Perkara 10 (3), Perkara 48 (6) dan juga Perkara 160, kalau perlu ada takrifan dan sebagainya dan juga pada Jadual 8,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memaklumkan, terdapat juga cadangan mewujudkan akta berasingan seperti Recall Election.

Beliau menyifatkan cadangan berkenaan sesuatu yang baik, namun menegaskan negara ini belum bersedia ke arah itu kerana melibatkan banyak pindaan undang-undang yang lain.

“Pada masa yang sama, ia juga melibatkan penggunaan banyak sumber kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menyebabkan kepada peningkatan kos kewangan dan juga mungkin kakitangan.

“Untuk itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada merupakan satu langkah yang praktikal buat masa ini,” katanya.

Madius adalah seorang daripada 11 Ahli parlimen yang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas RUU Anti Lompat pada Sidang Khas Parlimen Dewan Rakyat baru-baru ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button